Seorang pelayar warga Jerman sanggup berbelanja sebanyak RM2 juta bagi memiliki sebuah perahu besar jenis Pinas yang dibina tukang Melayu di pusat pembinaan bot tradisional di Pulau Duyong.
Perahu milik Christoph Swoboda, 57, yang diberi nama Naga Pelangi II itu dibina oleh Hassan Che Ali, 56, berukuran 95 kaki panjang dan 19 kaki lebar serta mengambil masa hampir enam tahun.
"Perahu besar ini semuanya menggunakan kayu cengal yang kini sukar diperoleh. Setelah kayu diperoleh, ia perlu dijemur selama kira-kira dua tahun sebelum kerja membinanya dimulakan.
"Ia dibuat begitu teliti, unik dan halus kerana tidak menggunakan sebarang paku untuk mencantumkan antara papan perahu berkenaan. Itu sebab ia memakan masa yang lama untuk disiapkan," kata Christoph di Marina Riyaz Heritage And Spa, Pulau Duyong semalam sebelum berlayar dengan Naga Pelangi II ke Langkawi bersama enam rakannya yang terdiri daripada warga Switzerland, Norway dan Denmark.
Katanya, pembinaan bot di Terengganu cukup istimewa kerana kehalusan pembuatannya, selain menggunakan ciri tradisi yang tidak banyak menggunakan paku.
Sehubungan itu, Christoph mengesyorkan supaya pihak berkenaan di negara ini memberi perhatian khusus dengan melatih belia yang berminat dalam bidang pertukangan bot tradisonal Terengganu itu.
No comments:
Post a Comment