Pekerja T'Cafe D' Muara Live Seafood di hadapan rumah tradisional yang diubah suai menjadi restoran di Kampung Kuala Hiliran, Losong, baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azmi Razik berkata, sehingga kini, lima buah T'Cafe telah dibuka termasuk di Geliga, Kemaman dan Pantai Peranginan Kelulut, Marang manakala cawangan terbarunya di Gong Kemuntong, Besut bakal beroperasi Januari tahun depan.
"Dua buah lagi telah beroperasi di daerah ini iaitu di Medan Selera Pasar Raya Giant dan T'Cafe D'Muara yang baru sahaja beroperasi awal bulan lalu di Kampung Kuala Hiliran, Losong, dekat Kuala Terengganu.
"Setiap pengusaha menerima pinjaman sehingga RM150,000 dan peruntukan itu akan ditambah dari semasa ke semasa berdasarkan komitmen yang ditunjukkan dalam perniagaan berkenaan," katanya semalam.
Tambah Azmi, di samping ingin melahirkan ramai usahawan dalam pelbagai sektor perniagaan, asas utama dalam mewujudkan rangkaian perniagaan ini adalah untuk mengetengahkan makanan Terengganu seperti nasi dagang dan keropok lekor kepada pengunjungnya.
"Setiap cawangan T'Cafe mampu mewujudkan sehingga 30 peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat serta bakal menjadi ikon baru bagi negeri ini dalam pelancongan berasaskan makanan.
"T'Cafe juga akan mengembangkan operasinya dengan membuka beberapa cawangannya di luar Terengganu pada tahun hadapan dengan membawa imej masakan tradisional negeri ini kepada pengunjungnya," jelasnya.
Beliau juga memberitahu, YPU telah mengubah suai Pengkalan Keropok Losong di Kampung Kuala Hiliran, dekat sini sebagai hab makanan laut dan masakan tradisional.
"Dengan nama T'Cafe D'Muara Live Seafood, restoran yang mampu memuatkan sehingga 400 pengunjung ini menawarkan pelbagai hidangan yang bercirikan menu tradisional tempatan, masakan Cina serta barat.
"Cafe yang diubahsuai daripada rumah tradisional Terengganu ini bakal menjadi lokasi baru persinggahan River Cruise yang pasti membuka selera dengan berlatarkan deretan bot nelayan di tebing muara Sungai Terengganu," jelasnya.
Katanya lagi, dengan 10 akuarium yang mampu memuatkan sehingga 80 ekor ikan air tawar dan masin dalam pelbagai saiz, kafe ini satu-satunya di negeri ini yang berkonsepkan live seafood.
"Premis yang dibangunkan masih mengekalkan ciri binaan rumah tradisional dan dilengkapi dengan peralatan moden yang menggunakan Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP)," katanya.
No comments:
Post a Comment