Wednesday, December 15, 2010

Rumah Tumpangan Guna Istilah Homestay Bawa Impak Negatif

Ahmad Fathil Abd. Ghani (duduk tengah) bersama peserta Kursus Etika, Komunikasi dan Penampilan Pengusaha Homestay di Kuala Terengganu, kelmarin.

Kewujudan banyak rumah tumpangan atau premis penginapan yang diuar-uarkan sebagai ‘homestay’ (inap desa) di negeri ini sedikit sebanyak telah memberi impak negatif kepada konsep kewujudannya yang sebenar.

Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan negeri, Ahmad Fathil Abd. Ghani berkata, dengan penggunaan istilah itu, ia sedikit sebanyak telah menjejaskan fungsi dan peranan produk pelancongan yang ingin diperkenalkan.

“Homestay merupakan konsep tinggal bersama dengan pemilik rumah yang mana mereka boleh merasai suasana kehidupan keluarga dan masyarakat setempat, malah bersama dalam kegiatan harian.

“Di situ, pelancong dapat merasai pengalaman baru dalam aspek budaya dan tradisi selain suasana persekitaran baru,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas di Majlis Penutupan dan Penyampaian Sijil Penyertaan kepada 27 peserta Kursus Etika, Komunikasi dan Penampilan Pengusaha Homestay, di petang kelmarin.

Kursus dua hari ini bertujuan memberi kesedaran serta meningkatkan kecekapan dan kemahiran para pengusaha di enam buah homestay di seluruh negeri dengan harapan dapat memberi kepuasan maksimum kepada pelancong.

Mereka turut didedahkan dengan pelbagai kursus seperti Kursus Pemandu Pelancong, Kursus Undang-Undang Pelancongan, Kursus Mesra Malaysia dan Kursus Pertolongan Cemas dan Penggunaan Alat Pemadam Api.

Sementara itu, katanya, sebuah lagi homestay dengan kapasiti 10 buah rumah akan dibuka pada tahun hadapan di Kampung Seberang Pintasan, Dungun dengan menjadikannya homestay yang ketujuh di negeri ini.

No comments:

Post a Comment