Wednesday, December 29, 2010

ASNB Agih Pendapatan RM89.88 Juta

MENINGKAT...Ahmad Sarji (kiri) dan Hamad Kama mengumumkan pengagihan pendapatan ASN tahun ini.

Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB) memperuntukkan RM89.88 juta sebagai pembayaran pengagihan pendapatan Skim Amanah Saham Nasional (ASN) yang akan dapat dimanfaatkan seramai 1.18 juta pemegang saham yang melanggan 1.5 bilion unit ASN.

Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, dengan peruntukan itu, kadar pengagihan pendapatan adalah enam sen seunit untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2010.

Katanya, jumlah itu meningkat berbanding pengagihan pendapatan 5.20 sen seunit tahun lalu.

“Pengagihan pendapatan tahun ini meningkat berbanding RM81.52 juta yang dibayar pada tahun kewangan 2009.
“Prestasi ASN sepanjang tahun kewangan berakhir 31 Disember 2010 juga secara keseluruhannya lebih baik berbanding dengan tahun lepas selaras prestasi memberangsangkan ekonomi negara dan pasaran saham dengan indeks FBM KLCI meningkat 18.8 peratus kepada 1,511.58 yang dicatatkan pada 24 Disember daripada 1,271.78 mata pada tempoh sama tahun lalu,” katanya mengumumkan pengagihan pendapatan ASN di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman. Beliau berkata, dalam tempoh tahun kewangan yang sama ASN memperoleh pendapatan kasar RM112.02 juta. Manakala keuntungan daripada jualan saham menyumbang RM63.07 juta atau 56.30 peratus diikuti pendapatan dividen yang diterima daripada syarikat pelaburan sebanyak RM39.18 juta atau 34.98 peratus.

No comments:

Post a Comment