"Saya dan rakan rakan dalam parti akan memberi tumpuan untuk terus memperkasakan parti bagi menghadapi pilihan raya umum ke 13 dan mempastikan kemenangan besar bagi Barisan Nasional...tugas utama adalah untuk memastikan rakyat terus memberi kepercayaan dan bersama UMNO, terutama generasi muda..." - Ahmad Said
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menepis tanggapan kononnya masih wujud pertelingkahan di kalangan pemimpin UMNO Terengganu.
“Terengganu ok…kamu orang (media) yang berkata begitu (wujudnya kemelut),” tegasnya ketika menjawab soalan seorang wartawan yang bertanya mengenai politik di Terengganu.
Menurut Tengku Adnan, Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Razak yakin perubahan di Terengganu akan membawa ‘pembaharuan politik’ dan gandingan dua pemimpin baru akan melonjakkan UMNO negeri menghadapi pilihan raya.
Pada pengumuman Setiausaha Agung UMNO yang mewakili Presiden UMNO semalam, Datuk Seri Ahmad Said dilantik semula sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu sementara naibnya ialah Ketua Bahagian Marang, Yahya Khatib Mohamad.
Pada sidang media di Bilik Mesyuarat Tingkat 38, Menara Dato Onn jam 3 petang itu, Tengku Adnan beberapa kali ditanya mengenai keadaan politik UMNO di Terengganu.
Seorang wartawan mendakwa UMNO Terengganu masih bergolak dengan dua puak yang menyokong dan menentang kepimpinan Menteri Besar.
Namun menurut Tengku Adnan, UMNO Pusat tidak melihat sedemikian sebaliknya ia lebih kepada ‘mainan media’ yang meletakkan suasana berkenaan.
Ahmad Said yang ketika ini berada di luar negara melahirkan ucapan amat berterima kasih kepada Presiden dan Ahli-ahli Majlis Tertinggi kerana memberi kepercayaan untuk memimpin UMNO Terengganu.
"Saya dan rakan rakan dalam parti akan memberi tumpuan untuk terus memperkasakan parti bagi menghadapi pilihan raya umum ke 13 dan mempastikan kemenangan besar bagi Barisan Nasional," katanya melalui satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Menteri Besar.
Katanya, tugas utama beliau juga adalah untuk memastikan rakyat terus memberi kepercayaan dan bersama Umno, terutama generasi muda, kerana golongan ini perlu diajak menghayati sejarah perjuangan Umno, iaitu untuk Agama,Bangsa dan Negara.
Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang mengulas perlantikan semula Ahmad Said sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, berkata akan memberi nafas baru kepada UMNO dan negeri ini selain membuktikan pucuk pimpinan tertinggi negara yakin dengan kemampuan pemimpin negeri menerajui parti dan memenuhi harapan rakyat.
Beliau menyifatkan pelantikan itu turut melenyapkan pelbagai persepsi negatif terhadap UMNO negeri seterusnya menjadi permulaan baru untuk parti menyusun dan menggerakkan agenda menghadapi pilihan raya.
“Saya rasa pengumuman ini amat dinantikan oleh semua. Menteri Besar sendiri akan mengetuai UMNO negeri dibantu oleh Timbalannya, Yahya Khatib Mohamad. Mereka merupakan orang yang paling layak untuk menjadi perantaraan antara kepimpinan dan rakyat.
“Pelantikan ini tentunya ditimbangkan bukan dalam sehari dua dan saya yakin penyerahan kembali jawatan ini amat bermakna dalam perkembangan politik di negeri ini,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Mengenai pengguguran tiga Naib Presiden sebagai pengerusi UMNO di Kedah, Terengganu dan Pulau Pinang, Tengku Adnan berkata, langlah tersebut adalah sejajar dengan kehendak ahli akar umbi.
Selain itu katanya, ia juga adalah sebagai langkah terbaik untuk ketiga-tiga naib presiden berkenaan menumpukan perhatian kepada tugas-tugas hakiki iaitu berdasarkan kepada biro masing-masing.
''Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah diberi tanggungjawab mengendalikan biro latihan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pula merupakan pengerusi tatatertib dan pindaan perlembagaan manakala Datuk Seri Mohd. Sahfie Apdal adalah pengerusi biro keahlian.
''Dengan tidak memegang jawatan pengerusi ketiga-tiga Naib Presiden ini akan dapat menumpukan kepada tugas-tugas yang telah dipertanggungjawabkan,'' ujarnya.
Sementara itu beliau berkata, pucuk pimpinan parti mengarahkan supaya semua perhubungan UMNO negeri mengadakan mesyuarat sekali dalam tempoh dua bulan.
''Mereka juga telah diminta memberi laporan-laporan terus kepada presiden,'' katanya lagi.
Sementara itu, mengenai senarai terbaru Kepimpinan UMNO di peringkat negeri, Tengku Adnan yakin keputusan Presiden UMNO itu mampu mengukuhkan lagi kedudukan parti terutama bagi menarik lebih ramai sokongan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum ke 13.
Katanya, sebagai contoh pelantikan bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Tun Mahathir sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis serta Kedah.
Beliau berkata, kedua-dua pemimpin tersebut mempunyai kelebihan dan pengaruh masing-masing di kalangan masyarakat akar umbi di kedua-dua negeri berkenaan.
''Pucuk pimpinan parti percaya dengan kewibawaan kedua-dua pemimpin ini. Mukhriz misalnya mempunyai pengaruh untuk meraih lebih banyak sokongan pengundi muda terhadap UMNO serta Barisan Nasional (BN) di Kedah,'' katanya.
Beliau sebelum itu ditanya mengenai keputusan pucuk pimpinan UMNO melantik Shahidan dan Muhkriz sebagai Timbalan Pengerusi Badan UMNO di Perlis serta Kedah.
Mengulas lanjut mengenai pelantikan Shahidan, Tengku Adnan berkata, selain mempunyai pengalaman bekas Menteri Besar Perlis itu mempunyai kelebihan untuk berganding dengan Md. Isa bagi memantapkan lagi kedudukan UMNO di negeri berkenaan.
''Saya yakin gandingan kedua-dua pemimpin ini. Begitu juga dengan pelantikan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Said serta Datuk Zainal Abidin Osman sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu dan Pulau Pinang.
Berhubung keputusan untuk mengekalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Selangor serta Wilayah Persekutuan Tengku Adnan berkata, kepimpinan UMNO di kedua-dua negeri itu masih memerlukan kepimpinan dua pemimpin utama negara berkenaan.
No comments:
Post a Comment