Wednesday, December 22, 2010

Banjir Di Kijal, Kemaman Pulih Seperti Biasa

Hujan lebat yang melanda Kemaman Ahad dan Isnin lalu. Suasana ini berhampiran Awana Kijal.

Banjir di kawasan Kijal, Kemaman pulih seperti biasa petang semalam dan semua pusat pemindahan telah ditutup, kata Pegawai Kebajikan Masyarakat daerah Kemaman, Ghazali Awang.

Mangsa terakhir seramai 17 orang dari kampung Padang Kemunting, Kijal dibenarkan pulang pukul 2 petang semalam, katanya semalam.

Katanya pusingan pertama banjir yang melanda Kemasik dan Kijal menyebabkan 1,068 orang berpindah.

Keadaan jalan utama Kuala Terengganu-Kuantan yang mendap akibat banjir di Kerteh, Ahad lalu.

Hampir 850 orang daripada 284 keluarga telah dipindahkan ketika banjir itu melanda Ahad dan Isnin lalu. Sebanyak 10 buah pusat pemindahan telah dibuka di daerah Kemaman.

Pusat pemindahan itu ialah di Balai Raya Kampung Gong Cengal, Pusat Sumber Kampung Cabang, Balai Orang Ramai Kampung Baru Kerteh, Balai Raya Kampung Bukit Kukuran, kuarters Balai Polis Kerteh, Sekolah Kebangsaan Kemasik, Sekolah Kebangsaan Pengkalan Rangon, Balai Raya Bukit Teruna, Balai Raya Batu 9 dan Balai Raya Masjid Padang Kemunting.

Ketika banjir jalan ke Lapangan Terbang Kerteh ditenggelami air sedalam setengah meter namun masih boleh dilalui untuk semua kenderaan.

Banjir adalah disebabkan oleh hujan lebat disertai air pasang.

Ghazali berkata paras air sungai di Kemaman juga kembali seperti biasa.

No comments:

Post a Comment