Thursday, December 23, 2010

Hukuman Daripada 14 Hari Jadi Dua Tahun Penjara

Seorang pegawai kanan polis yang mulanya dihukum penjara 14 hari dan denda RM25,000, kini terpaksa akur apabila Mahkamah Tinggi di Kuala Terengganu, Kelmarin yang menambah hukuman kepada penjara selama dua tahun dan denda RM25,000.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abd Rahim Uda menjatuhkan hukuman itu terhadap Deputi Superintendan, Nordin Ahmad, 52, (gambar) dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Kuala Lumpur yang disabitkan kesalahan menerima suapan RM5,000 bagi membebaskan seorang tahanan daripada pusat pemulihan akhlak pada 2005.

Dalam penghakimannya, Abd Rahim berkata, rasuah adalah kesalahan serius dan haram di sisi Islam jika dibiarkan berleluasa dalam masyarakat boleh menyebabkan runtuhnya sebuah negara dan memberi kesan bukan saja kepada mangsa, tetapi juga orang awam.

Malah katanya, lebih dikesalkan tertuduh selaku pihak berkuasa yang mendapat kepercayaan tinggi masyarakat untuk menjaga ketenteraman serta keselamatan awam tidak amanah dalam menjalankan tugasnya.

"Mahkamah tidak boleh lari daripada hakikat bahawa rasuah adalah barah berbahaya yang boleh mengakibatkan runtuhnya sebuah negara, selain hukumnya dalam Islam adalah haram,” katanya.
Penghakiman itu diputuskan beliau selepas mendengar hujah Timbalan Pendakwa Raya, Ng Siew Wee, yang memohon mahkamah menjatuhkan hukuman lebih berat terhadap Nordin, kerana kes berkenaan membabitkan kepentingan awam, selain tertuduh adalah seorang penjawat awam dan kerajaan serius membanteras gejala rasuah.

Pada 25 April lalu, Mahkamah Sesyen Kemaman menjatuhkan hukuman penjara 14 hari dan denda RM25,000 terhadap tertuduh mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575).

Bagaimanapun, tertuduh mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Tinggi di sini, untuk mengetepikan sabitan kes dan mengurangkan hukuman.

Dia yang sudah berkhidmat lebih 20 tahun didapati bersalah menerima suapan kira-kira jam 8.05 malam pada 23 Oktober 2005, di sebuah rumah pangsa di Kampung Fikri, Kemaman ketika bertugas sebagai pegawai di Bahagian Tahanan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman.

No comments:

Post a Comment