Thursday, December 23, 2010

Peluang Berniaga Burger Kambing KAMBEST

Sebuah syarikat ternakan kambing dan bebiri, Perfect Agro (M) Sdn Bhd (PAMSB), kini mengorak langkah mengeluarkan produk burger kambing menggunakan jenama KAMBEST.

Pengerusinya, Datuk Razhi Yahaya berkata syarikatnya yang merupakan milik penuh Bumiputera telah memasarkan tiga jenis inti burger berasaskan daging kambing, iaitu Chevon Oblong Burger, Chevon Burger dan Chevon Frankfurter di pasaraya di Lembah Klang sejak dua bulan lalu.

Katanya PAMSB yang beroperasi sejak sembilan tahun lalu kini mempunyai lebih 1,000 kambing dan bebiri di ladangnya -- Ladang Intergrasi di Baling, Ladang Pembiak-Bakaan di Pengkalan Hulu, Perak dan Pusat Transit di Sepang, Selangor.

Kambing-kambing yang telah cukup umur akan dihantar ke kilang di Puchong, Selangor bagi diproses menjadi burger dengan resipi ala Perancis dan kilang ini adalah usahasama PAMSB dengan sebuah syarikat lain," katanya kepada Bernama di sini.

Dalam usaha mengembangkan lagi pasaran produk berkenaan, katanya syarikatnya telah bekerjasama dengan Lembaga Pembangunan Wilayah Kedah (Keda) untuk melahirkan peniaga burger berasaskan kambing di kalangan penduduk miskin tegar melalui Program Peningkatan Pendapatan (3P).

Seramai 16 orang peniaga perintis yang dipilih Keda melalui program itu telah menjalani kursus Pengendalian Perniagaan Burger Kambing anjuran PAMSB dan setiap peserta dibekalkan peralatan penyediaan burger termasuk kiosk bernilai RM10,000.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif syarikat, Muhd Huzaimi Razhi berkata pihaknya menyasarkan peningkatan pengeluaran produk sehingga 15,000 peket setiap tiga minggu berbanding 5,000 peket sekarang ini.

Katanya syarikat itu juga akan meluaskan pemasaran produk berkenaan hingga ke beberapa negeri lain seperti Melaka, Terengganu dan Kelantan.

Muhd Huzaimi berkata sesiapa yang berminat menyertai perniagaan menjual burger KAMBEST boleh menghubunginya di talian 0132084981 atau e-mail zemy12@yahoo.com.

No comments:

Post a Comment