Tuesday, December 28, 2010

Kerjasama Masyarakat Bantu Turun Indeks Jenayah Di Terengganu

Indeks jenayah di Terengganu berjaya dikurangkan tahun ini berikutan kerjasama erat antara pihak polis dengan masyarakat terutama dalam aspek menyalurkan maklumat berhubung sesuatu kes jenayah, kata Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Shukri Dahlan.

Beliau berkata indeks jenayah dikurangkan sebanyak 24.01 peratus dalam tempoh antara Januari hingga November tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

“Selain usaha berterusan polis dalam menurunkan kadar jenayah, penglibatan masyarakat setempat juga menyumbang ke arah kejayaan ini.

“Sehubungan itu, kerjasama seperti ini perlu diteruskan kerana amat penting untuk pihak polis mendapatkan maklumat dari orang awam bagi menyelesai dan membendung perbuatan jenayah,” katanya di Kuala Terengganu, semalam.

Beliau yang akan menjawat jawatan baru selaku Ketua Polis Perak pada Khamis ini berkata sebanyak 1,328 atau 55.46 peratus kes jenayah telah diselesaikan dalam tempoh Januari hingga November lalu.

Penolong Pengarah Latihan Polis Diraja Malaysia Bukit Aman, Datuk Jamshah Mustapa yang akan mengambil alih tugas Ketua Polis Terengganu daripada Mohd Shukri, berharap kerjasama antara polis dan anggota masyarakat dapat diteruskan dalam usaha menurunkan lagi indeks jenayah di Terengganu.

“Saya berharap polis dan masyarakat dapat terus bersatu dan bekerja sebagai satu pasukan dalam memastikan jenayah di negeri ini berkurangan,” katanya.

No comments:

Post a Comment