Monday, December 13, 2010

Mudah Bagi Hadi, Mustafa Ali, Sukar Bagi Ahmad Said

Keratan akhbar Kosmo! kelmarin

Datuk Seri Hadi Awang (kini ADUN Rhu Rendang dan Ahli Parlimen Marang) boleh dengan mudah ‘cuci tangan’ dengan mengatakan saman sebanyak RM1 bilion bukan lagi urusannya.

“Kita tak tipu orang, kalau ada, orang yang tipu kita,” demikian ulas Hadi seperti dilaporkan Kosmo! kelmarin apabila ditanya isu tuntutan saman RM1 bilion dikemukakan Riyapadu Sdn Bhd (Riyapadu) terhadap kerajaan negeri pimpinan PAS pada 12 Disember 2007 di Mahkamah Tinggi di Kuala Terengganu.

Berikutan kegagalan kerajaan negeri yang diterajui Hadi yang ketika itu Menteri Besar mematuhi perjanjian yang sudah dimeterai, kesannya terbawa hingga ke era Datuk Seri Ahmad Said menjadi Menteri Besar.

Apakah yang dimaksudkan olehnya ‘orang yang tipu kita’?

Mungkin Hadi tidaklah begitu arif mengenai konsesi pembalakan di Tasik Kenyir pada 2003 ini. Beliau mungkin kurang maklumat dan kerana itu enggan mengulas .

Yang mahir ialah Datuk Mustafa Ali (gambar kanan) yang turut disebut namanya beberapa kali pada sidang media kelmarin. Malah ada pihak mendakwa Mustafa ‘mengutip wang’ bagi pihak orang tertentu apabila konsesi diluluskan.

Mustafa mengulas isu ini mengatakan mana-mana pihak yang mengambilalih kuasa, tidak kira PAS atau UMNO akan bertanggungjawab atas segala perkara termasuk hal saman tersebut. “Ketika kes ini berlangsung di mahkamah, PAS tidak lagi memerintah.

Malah sepanjang kes ini berlangsung tiada seorang pun pimpinan PAS yang pernah menjadi kerajaan dirujuk,” katanya.

Kerajaan PAS sendiri, jelasnya pernah menerima tanggungjawab disaman ketika dalam kes Yee Seng Sdn Bhd lawan kerajaan Terengganu. Menurutnya, pada ketika PAS memerintah Terengganu dan kes tersebut telah pun bermula pada zaman pemerintahan UMNO.

Sebagai kerajaan negeri, jelasnya PAS bertanggungjawab penuh dalam kes tersebut. “Walaupun kalah PAS tidak pula meletakkan kesalahan itu kepada Umno,” jelasnya lagi.

Isunya berapakah jumlah yang perlu dibayar?

Dalam konteks saman Riyapadu ini ia membabitkan RM1 bilon. Jumlah ini bukan kecil kerana perbelanjaan negeri Terengganu setiap tahun mencecah RM1.6 bilion. Bermakna jumlah yang mungkin kerajaan Terengganu bayar adalah 62.5 peratus daripada bajet tahunan kerajaan sekarang.

Kerana itu Ahmad Said cukup bimbang dan menurut Menteri Besar, kelemahan pemerintahan kerajaan negeri pimpinan PAS yang lalu menyebabkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu ketika ini terpaksa menanggung bebannya termasuk saman yang dikemukakan sebuah syarikat berikutan pembatalan konsesi pembalakan di daerah Hulu Terengganu yang diserahkan pada 2003

Menteri Besar itu berkata kerajaan BN yang memerintah Terengganu kini menjadi mangsa kerana terpaksa menanggung beban dan natijah kepincangan kerajaan pimpinan PAS itu.

“Jika tuntutan ini berjaya, mahu tidak mahu kita terpaksa bayar juga. Kita sangat kecewa dan dukacita kerana sepatutnya kes sebegini tidak berlaku.

“PAS tidak harus menuding jari kesalahan itu pada orang lain pula,” katanya mengulas isu tuntutan saman RM1 bilion dikemukakan Riyapadu terhadap kerajaan negeri pimpinan PAS pada 12 Disember 2007 itu.

Dalam writ saman yang difailkan, syarikat itu menyatakan pada 3 April 2003, ia menandatangani perjanjian konsesi melalui tender terbuka mengambil hasil hutan di kawasan 16,587 hektar di Mukim Tembat dan Petuang, Hulu Terengganu.



Melalui perjanjian dengan kerajaan negeri yang ketika itu diperintah PAS, Riyapadu diberi kebenaran mengambil kayu balak dan hasil hutan di kawasan itu dan bersetuju membayar kerajaan negeri RM25 juta sebagai premium pembalakan.

Syarikat itu mendakwa sudah menjelaskan bayaran premium RM20 juta pada 9 April 2003 dan RM5 juta pada 5 Julai tahun yang sama dan bersedia menjelaskan bayaran premium selanjutnya melalui bank.

Namun, apabila bank pembiaya Riyapadu memohon pengesahan bertulis kerajaan negeri pada masa itu, kerajaan negeri enggan memberi sebarang kerjasama dan menamatkan konsesi balak berkenaan.

Selepas menamatkan konsesi itu, kerajaan PAS negeri didakwa merampas kayu balak yang sudah ditebang dan dilelong kepada pihak lain tanpa persetujuan syarikat itu.
Ahmad berkata, kes berkenaan memperlihatkan dengan jelas kepada rakyat kepincangan pentadbiran kerajaan negeri ketika itu apabila PAS yang tidak berpengalaman memimpin negeri akhirnya disaman dalam jumlah yang cukup tinggi.

Ahmad Said bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai keputusan Mahkamah Tinggi itu kerana boleh menimbulkan subjudis terhadap mahkamah, lagipun mahkamah masih belum membuat sebarang keputusan mengenai kes tuntutan berkenaan.

“Pembangkang hanya tahu bercakap tetapi tidak mempunyai pengalaman mentadbir negeri dan akibatnya ditanggung kerajaan BN yang memerintah hari ini,” katanya di Kemaman kelmarin.

No comments:

Post a Comment