Monday, December 13, 2010

PENDEKATAN PENGURUSAN BAJET BERIMBANG UNTUK TERENGGANU

Kerajaan Terengganu dijangka membentangkan dasar pengurusan bajet yang seimbang, dengan pertambahan peruntukan kepada RM 1.880 billion untuk tahun hadapan.

Jumlah ini adalah pertambahan enam juta ringgit iaitu 0.32% berbanding dengan Belanjawan asal 2010.

Bagaimanapun jumlah itu difahamkan berkurangan RM57.18 juta atau 2.94% jika dibanding dengan peruntukan tahun 2010 yang disemak.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dijangka akan membentangkan ucapan Bajet 2011 selepas soalan lisan pada sidang terakhir untuk 2010 Dewan Undangan Negeri (DUN), Terengganu selama tiga hari bermula hari ini.

Sesuai dengan pengurusan bajet berimbang, kerajaan untuk meneruskan pelaksanaan pembangunan bagi kesejahteraan rakyat tetapi melalui dasar perbelanjaan kerajaan yang lebih berhemat berpandukan kepada keupayaan hasil yang mampu dipungut.

Dijangkakan pada tahun hadapan kerajaan negeri akan memperolehi hasil sebanyak RM1.887 billion ringgit.

Daripada jumlah anggaran hasil tersebut, 1.699 billion ringgit atau 90% adalah diunjurkan diperolehi dari sumber Kerajaan Pusat termasuk royalti petroleum.

Bakinya, RM188 juta atau 10% adalah daripada sumber negeri sendiri.

Menteri Besar dijangka akan menegaskan pada sidang hari ini bahawa kerajaan akan akan berusaha sedaya mungkin untuk menjana pembangunan dan memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

Kerajaan juga akan memberi penekanan kepada pendekatan pembangunan yang mendatangkan kesan dan impak kepada rakyat.
Pada masa yang sama kerajaan dijangka akan menegaskan untuk memastikan perbelanjaan dilakukan secara lebih berhemat dan melaksanakan langkah berjimat cermat tanpa menjejaskan prestasi, produktiviti dan kualiti perkhidmatan.

Ini kerana langkah ini akan dapat membendung perbelanjaan daripada meningkat dengan ketara dan pada masa yang sama memperbaiki kedudukan akaun kerajaan.

Kesan pemulihan ekonomi negara dikatakan mempengaruhi senario ekonomi negeri Terengganu.

Ini berdasarkan kadar pengangguran dijangka menurun kepada 3.5% pada tahun 2010 berbanding 3.9% pada tahun 2009.

Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) juga dijangka tumbuh positif kepada 6.0% pada tahun 2010 berbanding pertumbuhan negatif 1.5% tahun 2009.

Kerajaan negeri menjangkakan bagi tahun 2011 pertumbuhan ekonomi negeri dijangka mencapai 6.5% hingga 7.0%.

Ahmad Said juga dijangka akan meminta jabatan dan agensi kerajaan negeri menjamin agar terus berusaha memastikan semua projek RMKe-9 ini yang dalam perlaksanaan dapat disiapkan dalam tahun semasa.

Ini kerana tahun 2010 adalah tahun terakhir pelaksanaan projek-projek Persekutuan bagi mengelakkan kesulitan mendapatkan peruntukan tambahan dan menjejaskan ceiling di bawah RMKe-10.

Kakitangan kerajaan dijangka diminta jika projek tidak dapat disiapkan, ia perlu dibawa ke tahun baru memandangkan setiap projek telah ditentukan pelaksanaan dan peruntukkannya oleh Kerajaan Pusat.

Menteri Besar dijangka menegaskan betapa pentingnya perancangan diselaraskan bagi memastikan semua projek terutama yang masih dalam pelaksanaan dapat disiapkan mengikut jadual dan rakyat dapat menikmati faedahnya.

No comments:

Post a Comment