Wednesday, December 15, 2010

Wanita British Ditahan Bersama Suami Miliki Dadah

Roslan menunjukkan pokok ganja yang dirampas pada sidang media di Kuala Terengganu, semalam.
Polis pagi kelmarin menahan seorang wanita warga British dan suaminya rakyat tempatan kerana memiliki pelbagai jenis dadah bernilai RM75,000 di sebuah banglo di Kampung Kubang Kurus, Kemaman.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Negeri, Supt Roslan Abd Wahid berkata dalam serbuan 11 pagi itu, seorang wanita Melayu berumur 18 tahun yang merupakan anak angkat kepada pasangan itu turut ditahan.

"Ini merupakan satu kejayaan dan rampasan terbesar dengan pelbagai jenis dadah dalam tempoh tiga tahun untuk kawasan Terengganu Selatan," katanya di Kuala Terengganu, semalam.

Katanya, sebelum itu sepasukan polis yang menerima laporan tentang kegiatan pengedaran dadah di rumah berkenaan telah bertindak menyerbu ke rumah itu dan setelah memperkenalkan diri sebagai polis, seorang wanita berusia 40 tahun cuba melarikan diri ke dalam sebuah bilik, namun berjaya ditahan.

Roslan berkata selang beberapa minit kemudian seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun muncul di rumah itu dan mengaku sebagai pemilik banglo berkenaan dan suami kepada wanita itu.

Hasil soal siasat, dia telah membawa polis ke sebuah bilik di dalam rumah itu dan menemui pelbagai jenis dadah iaitu heroin 224.9 gram, syabu 7.4 gram, eramin 5 sebanyak 50 biji, ekstasi 40 biji, ganja 7.8 gram dan lima pokok ganja.

Ekoran itu polis turut merampas wang tunai RM37,530.00, sebuah kereta Mercedes Benz, sebuah kereta Honda Civic, sebuah kereta jenis Proton Gen2 dan barang-barang kemas yang kesemuanya dianggar bernilai RM246,220, katanya.

Roslan berkata siasatan awal mendapati selain kegunaan sendiri, dadah-dadah itu juga dipercayai untuk dijual oleh pasangan itu di sekitar Kemaman dan Cherating, Kuantan, Pahang.

"Pasangan itu merupakan penagih tegar dadah hampir 15 tahun dan mengedar dadah sejak 10 tahun yang lalu. Mereka membelanjakan hampir RM10,000 untuk tujuan pembelian dadah.

"Disebabkan perbelanjaan yang tinggi untuk membeli dadah itu suspek lelaki yang merupakan seorang pengusaha calet di Kuantan dan pasangannya terlibat dengan kegiatan pengedaran dadah," katanya.

Beliau berkata JSJN Terengganu akan memaklumkan segera tangkapan terhadap wanita warga British itu kepada Pesuruhjaya British di Kuala Lumpur melalui JSJN Bukit Aman.

Dengan penangkapan pasangan suami isteri yang mempunyai anak lelaki berusia 14 dan 16tahun yang masih bersekolah itu, beliau percaya kegiatan pengedaran dadah di Kemaman dan Cherating lumpuh.

Roslan berkata pasangan itu yang turut positif dadah jenis methamphetamine ditahan di bawah lapan seksyen termasuk Seksyan 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman mati mandatori.

Kini kedua-dua suspek ditahan reman sejak hari tangkapan hingga 19 Dis untuk siasatan lanjut.

No comments:

Post a Comment