Sunday, January 2, 2011

13 Pasar Raya Di Terengganu Sokong Kurang Penggunaan Beg Plastik

Sebanyak 13 pasar raya di sini, Dungun dan Kemaman telah bersetuju memberi kerjasama kepada kerajaan bagi menjayakan kempen 'Kurangkan Penggunaan Beg Plastik'.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kesihatan dan Hal Ehwal Pengguna negeri Dr A Rahman Mokhtar berkata langkah itu akan diperluaskan ke daerah lain di Terengganu dalam masa terdekat.

"Kita harap masyarakat akan memberikan kerjasama bagi menjayakan kempen ini," katanya kepada pemberita selepas perasmian kempen 'Kurangkan Penggunaan Beg Plastik' peringkat negeri Terengganu, semalam.

Turut hadir Pemangku Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri Ghani Harun.

Dr A Rahman berkata mulai hari ini dan setiap Sabtu selepas ini, pasar raya berkenaan tidak akan membekalkan beg plastik percuma kepada pengguna.

Sebaliknya pengguna akan dikenakan bayaran 20 sen bagi setiap beg plastik jika mereka memerlukannya dan sebahagian daripada wang itu akan dimasukkan ke dalam tabung kebajikan pengguna Terengganu, kata beliau.

Sementara itu, Abd Ghani berkata pihaknya akan mendapatkan maklum balas pasar raya terlibat mengenai tahap penerimaan pengguna terhadap kempen yang telah lama dilakukan di sekitar di Kuala Lumpur dan Selangor itu.

Beliau berharap program itu akan menjadikan masyarakat di Terengganu semakin peka dan prihatin terhadap penjagaan alam sekitar dan pembudayaan gaya hidup lestari.\

No comments:

Post a Comment