Sunday, January 2, 2011

Jumlah Mangsa Banjir Di Dungun Meningkat

Jumlah mangsa banjir di Kampung Cacar, Paka, Dungun meningkat kepada 69 orang daripada 12 keluarga setakat pukul 2 petang semalam berbanding 53 orang daripada tujuh keluarga pada Jumaat malam.

Pegawai Kebajikan Daerah Dungun Wan Zabariah Wan Harun berkata mereka kini ditempatkan di Dewan Serbaguna Kampung Cacar.

"Hujan lebat berterusan di daerah ini sejak Khamis lalu menyebabkan kawasan rumah mereka dinaiki air," katanya semalam/

Katanya, Kampung Padang Serai, Jalan Delima, Jalan Santong, Tanjung Hutang, Jalan Taman Indah dan Kampung Bukit Merah turut dinaiki air tetapi tiada penduduk dipindahkan setakat ini.

Sementara itu, katanya Kampung Pasir Raja, Hulu Dungun, turut dinaiki air menyebabkan 60 orang daripada 13 keluarga berpindah ke rumah sanak saudara.

Wan Zabariah berkata banjir di kawasan itu disebabkan air hujan bertembung dengan air sungai yang pasang.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan penduduk di kawasan berkenaan supaya berwaspada dan mematuhi arahan supaya berpindah sekiranya keadaan banjir bertambah buruk.

Dungun merupakan daerah kedua di negeri ini dilanda banjir selepas Kemaman dua hari lepas. Bagaimanapun, keadaan banjir di Kemaman telah pulih.

No comments:

Post a Comment