Wednesday, January 12, 2011

'Tiada kompromi dengan pemain tidak berdisiplin'

Ahmad Said menerima jersey no 5 kegemarannya pada majlis anugerah pemain dan menandatangani kontrak untuk pasukan Terengganu dan T-Team.

Pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) diminta tidak berkompromi dengan soal disiplin pemain bagi memastikan negeri itu mampu menjadi kuasa baru dalam saingan tempatan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, kerajaan negeri sentiasa memberikan komitmen kepada atlit kerana mahu melihat lebih ramai anak jati Terengganu berjaya di masa depan.

“Saya minta pihak pengurusan tidak berkompromi dengan pemain yang tidak berdisiplin dan bertindak tegas terhadap mereka, tanpa mengira status,” katanya selepas majlis penghargaan kepada enam pemain kelahiran negeri itu yang mewakili negara dalam Piala AFF Suzuki dan majlis menandatangani kontrak pasukan Terengganu dan T-Team yang menyertai Liga Malaysia musim ini.

Enam pemain yang menerima anugerah berbentuk satu lot tanah dan wang tunai RM5,000 daripada kerajaan negeri adalah Mohd Sharbini Alawee Ramli, Mohd Ashaari Shamsuddin, Mohd Muslim Ahmad, Izzat Faris Ramlan, Mohd Faizal Mohamad dan Norshahrul Idlan Talaha.

Ahmad Said berkata, antara tindakan yang boleh diambil terhadap pemain bermasalah termasuk memperkenalkan sistem memotong elaun atau gaji pemain yang ponteng latihan atau sengaja mencari masalah ketika perlawanan sehingga dilayangkan kad merah atau kuning.

Beliau turut melahirkan harapan melihat kedua-dua pasukan negeri itu membawa pulang satu daripada tiga trofi yang dipertandingkan bagi mengakhiri penantian lebih 10 tahun bergelar juara.
Pemain Terengganu menerima kontrak daripada Menteri Besar.

No comments:

Post a Comment