Thursday, January 13, 2011

Balai Polis Cemerlang Terima Anugerah Khidmat Cemerlang

Jamshah Mustapa (tengah) menyampaikan anugerah kepada Aziz Tuan Ya (kiri) semasa majlis anugerah perhidmatan cemerlang peringkat Kontinjen Terengganu di Kuala Terengganu, kelmarin.

Empat buah balai polis di negeri ini yang merangkul anugerah Liga Balai Polis (BLT) baru-baru ini menerima anugerah perkhidmatan cemerlang di peringkat Kontinjen Terengganu.

Ketua balai serta anggota Balai Polis Cendering, Balai Polis Manir, Balai Polis Cabang Tiga dan Balai Polis Cukai menerima anugerah masing-masing dalam majlis di Menara Yayasan Terengganu di Kuala Terengganu, semalam yang disampaikan Ketua Polis Negeri, Datuk Jamshah Mustapa.

Pada majlis itu, Jamshah melahirkan rasa bangga dengan prestasi para anggota di empat balai berkenaan yang menunjukkan komitmen tinggi dalam menjalankan tugas pencegahan jenayah.

Menurutnya, balai-balai berkenaan adalah antara 15 balai polis dari seluruh negara yang terpilih memenangi anugerah dalam pertandingan BLT.

Beliau memberitahu, anugerah tersebut membolehkan setiap anggota di empat balai berkenaan menerima hadiah RM500 bagi kategori johan dan RM300 (naib johan).

"Anugerah yang diterima itu dinilai berdasarkan pencapaian menurunkan kadar jenayah di kawasan masing-masing selain hubungan dengan masyarakat setempat," katanya kepada pemberita selepas majlis tersebut.

Jamshah berkata, BLT dinilai oleh Bahagian Lembaga Penilaian Bukit Aman.

Terdahulu, Jamshah menyampaikan anugerah khidmat cemerlang kepada 294 anggota Polis Kontinjen Terengganu terdiri daripada para pegawai kanan, pegawai pangkat rendah dan kakitangan awam yang cemerlang sepanjang tahun 2009.

Beliau berharap, semua warga polis Kontinjen Terengganu perlu meningkatkan prestasi dalam perkhidmatan selain mengamalkan sikap jujur serta ikhlas ketika menjalankan tugas.

"Pencapaian dan anugerah yang diterima hari ini akan menyuntik semangat kepada anggota lain untuk sama-sama memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat," ujarnya.

No comments:

Post a Comment