Wednesday, January 26, 2011

Banyak Hasil Penyelidikan UMT Berpotensi Untuk Dikomersilkan


Aziz Deraman (tiga dari kiri) menandatangani memorandum persefahaman dengan pengusaha ikan arowana terkemuka negara, Bukit Merah Arowana Village Sdn. Bhd. yang diwakili oleh Law Cheing Kiat di UMT, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Banyak hasil penyelidikan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berpotensi untuk dikomersilkan jika mendapat perhatian sewajarnya, kata Pengerusi Lembaga Pengarahnya Tan Sri Dr Zaharudin Idrus.

Justeru kata beliau, usaha yang lebih serius harus dilakukan bagi memastikan hasil penyelidikan itu didedahkan kepada pihak industri.

"Kalau kita hanya menyimpan hasil-hasil penyelidikan sebagai bahan kajian, negara tidak dapat manfaat daripada usaha-usaha yang baik dari penyelidikan yang dijalankan itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Penyelidik UMT 2011, di Kuala Terengganu, semalam.

Beliau juga berkata UMT harus mengambil peluang memohon sebahagian daripada RM700 juta yang disediakan kerajaan di bawah Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10) sebagai geran penyelidikan untuk institusi pengajian tinggi.

Bagi tempoh RMK9, UMT menerima RM29 juta bagi tujuan penyelidikan, katanya.

Pada masa yang sama, Zaharudin turut meminta UMT memanfaatkan kesemua anggota penyelidik dan ahli sains yang ada di universiti itu bagi menjayakan transformasi ekonomi negara.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan UMT bakal menjadi pusat rujukan bagi penyelidikan dan pembangunan industri ternakan ikan arowana di negara ini menerusi kerjasama dengan Bukit Merah Arowana Village Sdn. Bhd. (BMAV).

Satu memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani antara UMT dengan syarikat pengusaha ikan arowana itu baru-baru ini bagi membolehkan UMT menggunakan pusat penetasan BMAV di Gunung Semanggol, Perak sebagai pusat penyelidikan dan latihan industri.

Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Aziz Deraman menyifatkan kerjasama itu sebagai usaha memulihara dan mengembangkan khazanah yang tinggi nilainya.

“Ia dapat mendedahkan para pegawai serta penyelidik dengan membawa kepakaran industri sebenar ke dalam universiti melibatkan kerjasama pintar di antara syarikat tempatan itu,” ujarnya selepas majlis berkenaan.

UMT diwakili Aziz sendiri manakala BMAV diwakili oleh Pengarah Urusan, Law Cheing Kiat.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT, Prof. Dr. Noor Azhar Mohamed Shazili dan dekan-dekan serta para pegawai universiti berkenaan.

Aziz menambah, usaha sama itu membolehkan kedua-dua pihak menyelidik spesies baru serta masalah-masalah dalam pembiakan ikan berkenaan.

Katanya, BMAV telah memberi sumbangan RM35,000 bagi tujuan penyelidikan merangkumi kajian ketahanan arowana terhadap penyakit, penentuan jantina dan jenis ikan, penghasilan spesies baru serta pembiakan arowana induk dan kajian habitat ikan berkenaan.

Beliau yakin UMT mampu mengukuhkan salah satu peranannya sebagai pusat kecemerlangan dalam bidang penyelidikan akuakultur apabila menjadi pusat rujukan penyelidikan ikan hiasan itu.

Jelasnya, sebelum ini UMT telah bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menyelidik ikan air tawar iaitu kelah, selain turut mempunyai pusat penyelidikan di Tasik Kenyir.

“Kita memang berharap universiti ini dapat menghasilkan pelbagai penemuan baru dalam penyelidikan yang dilaksanakan agar kejayaannya dapat dikongsi bersama terutama dalam industri bernilai tinggi.

“Saya dimaklumkan bahawa ada kira-kira 80 pengusaha ikan arowana yang terdapat di sekitar Gunung Semanggol.

“Jadi, penyelidikan tentang ikan ini amat diperlukan dan kita rasa bertuah dapat menjadi sebahagian daripada mereka yang terlibat dalam industri ini,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment