Wednesday, January 5, 2011

Drapac Sedia Gegar LTdL 2011

Pasukan benua, Drapac Professional Cycling, dari Australia akan bergantung kepada pelumba Belanda Floris Goesinnen untuk menggalas cabaran dalam pendakian di Genting Highlands dan Cameron Highlands pada perlumbaan Le Tour De Langkawi (LTdL) 2011.

Bagaimanapun, pasukan itu turun untuk memberi saingan tanpa pelumba bintang, Peter McDonald, yang juga Raja Bukit LTdL 2010.

"Geosinnen pakar dalam mencari peluang untuk berpecah dari peloton di awal perlumbaan," kata pengurus pasukan Agostino Giramondo seperti dipetik dalam kenyataan jabatan media LTdL di sini hari Selasa.

Menurut kenyataan itu, Drapac, yang sebelum ini dikenali sebagai Drapac-Porsche, menyandarkan harapan kepada Geoesinnen yang muncul sebagai Raja Bukit pada perlumbaan Driedaagse de Panne, naib juara Denmark Runhfahrt dan tempat keempat pada Grand Prix Temse tahun lepas.

Pasukan dari Melbourne itu telah mencapai beberapa pencapaian sepanjang tahun lepas pada LTdL 2010, Piala Jepun, Jelajah Okinawa, Melbourne-Warnabool dan Jelajah Bright.

Menurut kenyataan itu, pasukan itu berhasrat memperbaiki tempat keenam keseluruhan pada LTdL 2010 pada edisi kali ini yang bermula 23 Jan ini.

Selain Geosinnen, pasukan itu akan membariskan lima pelumba lain iaitu David Pell, Rhys Pollock, Tom Palmers dan Stuart Shaw, kesemua pelumba Australia dan pelumba Malaysia berasal dari Terengganu, Muhamad Adiq Husainnie Othman.

Muhamad Adiq Hussainie muncul sebagai pelumba negara terbaik pada edisi lepas dengan menduduki tangga ke-35 keseluruhan.

Bagaimanapun, seorang lagi pelumba negara, Amir Mustafa Rusli, 23, yang menjadi pelumba kedua negara menyertai pasukan itu, tidak disenaraikan pada LTdL 2011.

Amir Mustafa, pelumba Terengganu, menyertai pasukan kebangsaan dan muncul pelumba tempatan kedua terbaik pada edisi lepas.

No comments:

Post a Comment