Kenaikan elaun imam dan bilal yang diumumkan kerajaan negeri baru-baru ini diharap mampu menarik golongan muda yang berilmu agama untuk mengisi kedudukan itu.
Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat berkata, ini kerana elaun yang ditawarkan itu setimpal dengan tanggungjawab yang dipikul oleh imam dan bilal masjid.
Tambah beliau, ketika ini terdapat banyak kekosongan bagi kedua-dua jawatan itu di seluruh masjid dan surau di Terengganu.
"Sehubungan itu saya berharap agar anak-anak muda yang berilmu dan berkebolehan tampil untuk mengisi kekosongan tersebut," katanya di Kuala Terengganu, semalam.
Elaun bulanan bagi 2,194 imam dan bilal masjid di seluruh negeri ini yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM8.7 juta setahun sebelum ini akan dinaikkan.
Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, kenaikan itu bagaimanapun hanya melibatkan satu kategori iaitu elaun imam RM800 dan bilal sebanyak RM600.
Keadaan itu berbeza berbanding sebelumnya kerana kedua-dua jawatan itu dibayar mengikut skim iaitu Skim A sebanyak RM650, Skim B (RM625) dan Skim C (RM600) bagi imam.
Bagi bilal pula Skim A (RM450), Skim B (RM425) dan Skim C RM400.
Dalam pada itu Khazan memberitahu, kerajaan negeri akan terus memperbanyakkan program yang bercorak keagamaan pada masa depan.
"Pada masa sama kita juga merancang mengadakan beberapa program yang bersesuaian dalam usaha menarik golongan muda mendekati masjid," ujar beliau.
Di Kubang Ikan, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Muhdi Md Yasin (gambar kiri)berkata habuan yang diberi oleh kerajaan kepada imam dan bilal adalah berpatutan, tetapi sejauh mana tanggungjawab itu dapat dipegang demi menjalankan tugas setimpal dengan elaun RM800 yang diberi.
Katanya, komitmen lebih tinggi perlu ditunjukkan imam dan bilal kerana sesetengah kampung, golongan itu sekadar datang untuk melaungkan azan.
“Sepatutnya, mereka bukan sahaja datang ke surau atau masjid untuk melaungkan azan semata-mata, tetapi kebajikan rumah Allah ini perlu berada dalam keadaan baik dan sempurna serta selesa.
“Kadang-kadang kita tengok, keadaan tandas terutama di kampung, tidak ‘lulus’ untuk digunakan sedangkan sepatutnya masalah ini perlu diatasi oleh ahli jawatankuasa masjid,” katanya.
Sekiranya masing-masing memberi komitmen terhadap tugas yang diberikan, orang ramai akan datang ke masjid atau surau dan mengimarahkan suasana di tempat ibadat itu.
“Bayar lebih, kerja pun kena lebih, baru berbaloi dengan apa yang diberikan dan bukan hanya datang untuk azan,” katanya.
Elaun yang ditambah itu perlu dianggap sebagai kepercayaan kerajaan kepada imam dan bilal dalam usaha mengimarahkan masjid dan surau di tempat mereka dengan menjaga kemudahan serta kebajikan sedia ada.
“Yang menjadi masalah sekarang, kebersihan dan kerosakan yang berlaku tidak dipulihkan menyebabkan penduduk atau orang ramai kurang selesa untuk imarahkan tempat suci ini,” katanya.
Beliau berharap, imam dan bilal dapat menjalankan tugas mereka sebaik mungkin bagi memastikan kepercayaan kerajaan dalam menaikkan elaun berbaloi.
No comments:
Post a Comment