RISDA akan menyusun semula 62 koperasi pekebun kecilnya di seluruh negara selaras usaha melahirkan sekurang-kurangnya 10,000 usahawan pekebun kecil dalam tempoh lima tahun lagi.
Pengerusinya, Tan Sri Rahim Thamby Chik, berkata langkah itu juga merealisasikan transformasi Model Baru Ekonomi (MBE) di kalangan pekebun kecil getah dan kelapa sawit yang berpendapatan sederhana kepada kumpulan ekonomi berpendapatan tinggi.
Katanya, penyusunan semula koperasi pekebun kecil merangkumi 180,000 anggotanya selaras program pembangunan semula sektor pekebun kecil getah dan kelapa sawit agensi itu. RISDA juga, katanya, sudah menubuhkan kelab usahawan di setiap negeri manakala pada peringkat Pusat diwujudkan Majlis Usahawan RISDA yang membantu pekebun dan memberi nasihat kepada mereka yang berpotensi menjadi usahawan menerusi gerakan koperasi.
“Kita mahu koperasi ini menjadi wadah membantu ahli terutama pekebun kecil yang majoritinya Melayu.
“Kerajaan tidak mahu lagi melihat ketirisan termasuk perbuatan alibabakan projek walaupun RISDA memberi pelbagai bantuan kepada koperasi dan pekebun kecil seperti racun, baja dan benih untuk melihat mereka menjadi pekebun dan koperasi yang berjaya, tetapi akhirnya matlamat itu tidak berjaya,” katanya.
Beliau menyatakan perkara itu selepas merasmikan Program Konsolidasi Patriostisme Ekonomi Bumiputera di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Zon Timur di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Kuala Teregganu.
Rahim yang juga Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM), berkata RISDA juga memantau kegiatan pekebun kecil dan koperasi supaya tidak berlaku kegiatan bersifat ali baba.
Katanya, antara langkah pemantauan itu adalah menempatkan pegawai RISDA bagi memastikan badan berkenaan dapat memanfaatkan semua ahli.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata GABEM meminta semua syarikat Bumiputera berwibawa di seluruh negara mengemukakan profil syarikat masing-masing untuk dinilai sejauh mana kejayaannya termasuk daripada segi pengurusan dan keuntungan yang dicatatkan.
GABEM juga akan bekerjasama dengan Majlis Kepemimpinan Latihan Universiti Malaysia (MAKLUM), Kementerian Pengajian Tinggi agar dapat membentuk satu program pembangunan usahawan Bumiputera yang teratur dan tersusun.
No comments:
Post a Comment