Ahmad Said (berbaju merah) di barisan hadapan bergembar kenangan dengan veteran Besut. Di sebelah kirinya ialah Datuk Seri Idris Jusoh (Ketua Bahagian UMNO Besut).
Badan Perhubungan UMNO Terengganu akan melakukan perubahan dalam struktur pengurusan bagi memastikan jentera parti dapat bergerak lebih aktif dan berkesan dengan melantik muka baru dan lama menduduki jawatankuasa pengurusan peringkat negeri.
Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Said, berkata mesyuarat pertama yang akan diadakan Selasa (25 Jan 2020)ini, antara lainnya akan membincangkan pelantikan itu selain merancang agenda parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.
Ahmad Said yang juga Menteri Besar Terengganu dan mengambil alih jawatan itu pada 1 Januari lalu, berharap mesyuarat pertama itu akan memberi nafas baru kepada perjuangan UMNO Terengganu terutama untuk berdepan dengan pembangkang.
Tanpa menamakan pemimpin UMNO negeri yang bakal terbabit rombakan itu, Ahmad Said berkata, surat jemputan mereka yang tersenarai menduduki jawatankuasa baru itu dan Ketua UMNO Bahagian akan dihantar dalam jangka masa terdekat.
“Kepemimpinan baru parti itu juga akan memberi fokus kepada usaha menyatupadukan ahli dan pemimpin UMNO supaya sentiasa bersedia pada bila-bila masa menghadapi pihak lawan,” katanya selepas perasmian Program Mesra Veteran UMNO Bersama Pemimpin Bahagian Besut, di Jertih, kelmarin.
Hadir sama Ketua Bahagian UMNO Besut yang juga bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih; ADUN Kuala Besut, Dr A Rahman Mokhtar; ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad; ADUN Kota Putera, Muhamad Pehimi Yusof dan ADUN Jabi, Ramlan Ali.
Pada majlis itu 20 veteran UMNO Besut yang pernah menjadi pemimpin bahagian itu diraikan sebagai menghargai jasa dan tanggungjawab mereka terhadap parti.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, pembangkang terutama PAS di Terengganu tidak kuat sebagai mana anggapan pihak tertentu sebaliknya kemenangan parti itu pada pilihan raya umum 1999 berpunca daripada sikap ahli UMNO sendiri yang berpaling tadah menyokong pembangkang.
Bagaimanapun, katanya, ketika UMNO di bawah pimpinan Idris, semangat ahli bangkit kembali menerusi semangat dan gagasan ‘Gelombang Biru’ yang menjadi roh perjuangan UMNO negeri.
Ahmad berkata, UMNO Terengganu juga akan merangka beberapa strategi untuk menggempur PAS berasaskan perkembangan semasa terutama mendedahkan pembohongan pemimpin parti itu kepada rakyat negeri ini.
Beliau percaya, rakyat negeri ini akan terus memberi sokongan kepada BN kerana kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian terhadap masalah rakyat menerusi pelbagai program pembangunan yang dilaksanakan sejak sekian lama.
Mengulas mengenai peranan veteran UMNO, Ahmad berkata, seorang pegawai
dari Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) akan dilantik di setiap bahagian untuk menjaga hal ehwal anggota veteran UMNO di Terengganu.
Ketika ini, jumlah ahli veteran UMNO yang masih bergerak aktif di Terengganu hampir mencecah 50,000 yang mana adalah sembilan peratus jumlah pengundi di Terengganu sekarang.
No comments:
Post a Comment