Thursday, February 10, 2011

Bandar Pelabuhan Kuantan Tarik RM38 Bilion Pelaburan Menjelang 2020

Bandar Pelabuhan Kuantan (KPC) disasarkan mampu menarik pelaburan berjumlah sehingga RM38 bilion menjelang 2020, dan sekali gus membantu Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan Zon Ekonomi Khas pertama negara yang terletak dalam lingkungan itu untuk menjadi hab perindustrian dan logistik.

Wilayah ECER meliputi Kelantan, Terengganu dan Pahang serta wilayah Mersing di Johor.

Bandar Pelabuhan Kuantan membentuk satu daripada komponen utama koridor pembangunan itu.

Melangkaui kawasan seluas 12,667 hektar, projek itu apabila siap akan menyaksikan pengeluaran 24 juta tonne, mewujudkan 44,785 pekerjaan dan menyumbang RM9.3 bilion kepada ekonomi tempatan menjelang 2020.

Menurut penganalisis perkapalan, projek-projek KPC sudah pastinya mampu mengubah Pelabuhan Kuantan menjadi pelabuhan mega berikutan terdapatnya saranan pembangunan bagi pengembangan Pelabuhan Kuantan.

Beliau berkata kajian kemungkinan telahpun selesai.

"Dengan kemudahan pelabuhan baharu, ia akan membolehkan pelabuhan itu menerima kapal seberat melepasi 40,000 tonne atau generasi akan datang kapal-kapal kontena," kata beliau kepada Bernama.

Penganalisis itu berkata pembangunan bersepadu KPC juga akan menyaksikan pasaran-pasaran untuk petrokimia, minyak sawit, automotif dan kontena serta zon perindustrian dan pembuatan utama yang akan memberi perkhidmatan kepada keseluruhan rantau Asia Pasifik.

Beliau berkata KPC juga akan menjadi tapak untuk Kluster Perindustrian Minyak Sawit (POIC) dengan satu daripada komponen pembuatannya berpengkhususan dalam industri hiliran dan kluster petrokimia. Kerja pembinaan di POIC bermula pada September tahun lepas.

"Bandar pelabuhan itu akan memperbaiki pendapatan dan kemahiran penduduk serta menyediakan mereka dengan akses yang selesa dan selamat kepada kemudahan dan infrastruktur yang cekap dan moden," kata penganalisis itu.

Pelan Induk Bersepadu untuk KPC telahpun dimuktamadkan dan diserahkan kepada Majlis Perbandaran Kuantan tahun lepas.

Sementara itu, penambahbaikan dalam infrastruktur utama KPC seperti jalanraya dan sistem perparitan bermula tahun ini.

Bagi memperbaiki kualiti air di KPC, satu saluran air sepanjang dua kilometer di Gebeng telahpun siap dan diserahkan kepada Jabatan Bekalan Air Pahang pada bulan Mac tahun lepas.

Sementara itu, kerja-kerja pembersihan dan kaji selidik tanah untuk pembinaan Loji Rawatan Air Panching sedang dilaksanakan.

Sebaik sahaja siap, loji rawatan air akan mempunyai kapasiti 160 juta liter sehari, yang akan memastikan bekalan air yang cukup, terutamanya di kawasan Gebeng.

Bagi memenuhi keperluan di KPC, rangkaian lebuh raya, jalan raya dan lapangan terbang akan membawa penumpang dan barangan antara KPC ke kawasan perindustrian kluster.

Pusat Logistik dan Pengagihan berlokasi berhampiran dengan pelabuhan juga akan meningkatkan pengendalian barang-barang.

KPC meliputi kawasan perindustrian Gebeng dan Pelabuhan Kuantan sedia ada sehinggalah ke kawasan Institut Mardi di utara dan sempadan negeri Pahang di bahagian barat.

No comments:

Post a Comment