Monday, February 21, 2011

Mohd Arif cabar Chong Wei Pada Perlawanan Akhir

Pemain remaja kebangsaan, Mohd. Arif Abdul Latif mencuri tumpuan dengan prestasi paling meningkat pada kejohanan Sirkit Grand Prix Badminton Kebangsaan Akhir selepas mengejutkan pilihan kedua, Tan Chun Seang semalam untuk menempah pertemuan dengan jaguh No. 1 dunia dan juara lapan kali, Datuk Lee Chong Wei pada final hari ini.

Juara akan membawa pulang hadiah wang tunai RM7,000.

Naib juara remaja Asia 2007 berusia 22 tahun itu bangkit daripada ketinggalan dalam set pembukaan sebelum mengetepikan Chun Seang 18-21, 21-15, 21-9 dalam masa 52 minit, sekali gus meletakkan dirinya sebagai calon terbaik untuk mengisi kekosongan skuad elit yang ditinggalkan oleh Muhammad Hafiz Hashim.

Biarpun menunjukkan peningkatan mendadak dengan permainan lebih pantas sejak dibimbing jurulatih, Hendrawan, namun Arif tetap turun sebagai pemain bukan pilihan apabila berdepan gergasi sebenar, Chong Wei yang meluncur mudah ke perlawanan akhir selepas menundukkan seorang lagi pemain remaja kebangsaan, Chong Wei Feng 21-16, 21-19 dalam masa 46 minit.

Arif tumpas dalam kedua-dua pertemuan terakhirnya menentang Chong Wei, namun dengan peningkatan yang semakin ditunjukkan, dia berharap dapat memberi tentangan sengit ke atas juara All England itu.

"Sebenarnya saya cukup berpuas hati dengan pencapaian kali ini kerana sasaran awal saya hanya cuba melayakkan diri ke separuh akhir tetapi sekarang saya sudah menjejakkan kaki ke final. Bertemu Chong Wei memang sukar, apa yang boleh saya katakan, saya akan beri terbaik.

"Saya banyak belajar daripada perlawanan hari ini. Pada set pertama, saya cuba menunjukkan permainan cantik sebab itu saya bergelut dan melakukan kesilapan, tetapi saya menukar permainan di set kedua dan ketiga.

"Daripada segi permainan, saya tidak terlalu banyak berbeza tetapi banyak peningkatan dari segi fizikal dan kekuatan permainan. Harap, kejayaan di sini akan menjadi permulaan kepada saya untuk lebih berjaya,'' ujar Arif.

Biarpun sudah dua tahun dibimbing Hendrawan, namun Arif mengakui, tahun pertama, jurulatihnya itu lebih banyak memberi tumpuan kepada Hafiz tetapi dia mula mendapat perhatian penuh bermula Februari tahun lalu.

Sementara itu, Chong Wei berkata, pertemuan dengan Arif akan dilayan seperti biasa kerana misinya hanya untuk menyokong kejohanan tempatan. "Saya bermainuntuk menyokong kejohanan tempatan, saya akan bermain seperti biasa esok," katanya.

Saingan beregu lelaki pula akan menemukan dua pasangan senior, Mohd. Fairuzizuan Tazari-Ong Soon Hock dan Hoon Thien How-Tan Boon Heong.

Meskipun hanya bidan terjun, Thien How-Boon Heong masih mampu menewaskan beregu remaja, Chan Peng Soon-Ong Jian Guo 24-22, 21-18, manakala Fairuzizuan-Soon Hock menumpaskan Mak Hee Chun-Tan Wee Kiong 21-7, 21-18.

Saingan akhir perseorangan wanita pula menemukan dua pemain kebangsaan, Sonia Cheah menentang Tee Jing Yi, manakala juara Asia, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying menempah pertemuan final dengan pasangan senior, Tan Boon Heong-Chin Eei Hui dalam saingan beregu campuran.

Utusan

No comments:

Post a Comment