Mohd. Hariff Salleh (kanan) ketika meraikan kejayaan menduduki tangga ketiga pada peringkat pertama perlumbaan Le Tour de Langkawi 2011, minggu lalu.
Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Korat akan bermula esok, namun sudah ada pelumba yang menyuarakan rasa tidak puas hati kerana tidak terpilih.
Tampil meluahkan perasaan terkilan adalah pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd. Harrif Salleh yang menyangkakan dia akan dipilih mewakili skuad lebuh raya kebangsaan dan terkejut apabila namanya langsung tidak tersenarai.
Pemenang tempat ketiga peringkat pertama Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011 itu menganggap, keputusan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) adalah tidak adil sedangkan pemilihan perlu dikira berdasarkan prestasi semasa pelumba.
Menurutnya, PKBM telah berjanji bahawa pemilihan pelumba ke ACC adalah berdasarkan prestasi semasa pelumba dan perlumbaan LTdL adalah medan terbaik untuk memilih pelumba kerana ia baru sahaja berakhir, Selasa lalu.
"Bagaimanapun saya agak terkejut kerana tidak terpilih beraksi dalam skuad lebuh raya kebangsaan, sedangkan prestasi saya serta beberapa lagi pelumba lain di TSG termasuk Shahrul Mat Amin dan Mohd. Saufi Mat Senan begitu menyerlah di LTdL," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia kelmarin.
Jelasnya, dia tidak pasti atas dasar apa pemilihan tersebut dilakukan, namun ia seperti usaha dan keputusan yang dicatatkan oleh pelumba TSG yang lain, kecuali Anuar Manan seolah-olah dipandang sepi.
Shahrul merupakan pelumba terbaik Malaysia ketika di peringkat keempat dari Ayer Tawar ke Cameron Highlands, manakala Saufi pula menjadi pelumba Malaysia pertama tiba di puncak Genting Highlands pada peringkat kelima dari Tapah ke Genting Highlands, yang mana kedua-duanya merupakan pendakian berstatus Hors.
Selain itu Saufi juga muncul sebagai pelumba terbaik keseluruhan Malaysia di LTdL dengan menduduki tempat ke-31 daripada 117 pelumba.
PKBM telah memilih enam pelumba yang bakal membawa cabaran acara lebuh raya di ACC, selain Anuar, lima lagi pelumba adalah Amir Mustafa Rusli, Mohamad Adiq Husainie Othman, Suhardi Hassan, Mohamad Rauf Nur Misbah dan Ahmad Fakrullah Alias.
Bagaimanapun Harrif sama sekali tidak memperkecilkan kemampuan pelumba yang dipilih oleh PKBM untuk mengambil bahagian dalam kejohanan itu, cuma dia merasakan perlu ada penjelasan di atas pemilihan skuad lebuh raya kebangsaan.
"Ia seolah-olah pelumba dari TSG seperti dianaktirikan dan setidak-tidaknya seorang pelumba dari pasukan ini dipilih ia sedikit-sebanyak mampu mengekalkan rentak kayuhan bersama Anuar, seperti apa yang kami buktikan di LTdL lalu," katanya pelumba kelahiran Terengganu itu.
Tahun lalu skuad lebuh raya pulang dengan tangan kosong pada ACC yang yang berlangsung Emiriah Arab Bersatu (UAE).
No comments:
Post a Comment