Kerajaan negeri merancang untuk memajukan tanaman vanila secara komersial sebagai tanaman baru yang berpotensi memberi pulangan menguntungkan kepada pengusaha dan menjana ekonomi negeri.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, ia mampu menjadi sumber pendapatan baru kepada para petani selain mengurangkan pergantungan kepada tanaman sedia ada.
Katanya, buat masa ini, kerajaan negeri sedang dalam peringkat rundingan dengan pelbagai pihak termasuk pelabur yang berminat mengusahakannya.
Beliau juga sudah mengarahkan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Ashaari Idris memberi perhatian terhadap pokok yang kini dikesan tumbuh meliar di serata negeri ini.
Beliau memberitahu, perancangan itu dibuat setelah mengambil kira faktor permintaan tinggi terhadap vanila dan ia mempunyai potensi untuk dimajukan di negeri ini berasaskan kesesuaian tanah.
"Kita dah arahkan Exco yang berkenaan (Ashaari) untuk tinjau mana-mana kawasan yang terdapat pokok-pokok vanila yang dikesan tumbuh meliar di serata Terengganu," katanya.
Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas menghadiri seterusnya menyampaikan ucaptama pada program Mesra Veteran UMNO Bersama Pemimpin peringkat Parlimen Kuala Terengganu di Dewan Tunku Abdul Rahman di Kuala Terengganu, Khamis (17 Feb 2011).
Ahamd Said berkata, pihaknya masih menunggu hasil kajian yang mendalam mengenai perkara itu sebelum memutuskan untuk memajukan projek berkenaan secara komersial.
"Kita masih tunggu dan akan tengok dulu sama ada ia (projek tanaman vanila) berpotensi untuk dimajukan atau sebaliknya, " jelasnya.
Beliau pokok vanila dari spesis orkid itu kini banyak tumbuh meliar di negeri ini dan ia perlu dimajukan sebagai sumber pendapatan baru kepada petani dan kerajaan negeri.
Pokok vanila berasal dari Mexico merangkumi 110 spesies yang telah dikenal pasti dan salah satu spesies yang dikesan mempunyai nilai komersial adalah vanilla planifolia andrew.
Ia mempunyai banyak kegunaan termasuk sebagai bahan aroma terutamanya untuk minyak wangi dan rokok di samping sebagai perasa untuk makanan manis seperti puding, kek, kastard, krim, ais krim dan coklat.
No comments:
Post a Comment