Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) telah mengambil tindakan menyenarai hitam 140kontraktor yang gagal menyiapkan projek skim Rumah Mesra Rakyat (RMR) di seluruh negara sejak lima tahun lepas.
Pengarah Urusan SPNB, Datuk Dr Kamarul Rashdan Salleh berkata pihaknya tetap serius dalam mengenakan tindakan terhadap kontraktor walaupun hanya lima peratus daripada keseluruhan projek pembinaan RMR terbengkalai sejak skim itu diperkenalkan pada tahun 2000.
Katanya SPNB telah menerima 43,000 permohonan untuk membina rumah di bawah program RMR sejak tahun 2000 dan telah meluluskan sebanyak 18,249 permohonan di mana 15,079 unit rumah telah disiapkan melibatkan kos kira-kira RM1 bilion.
"Berikutan banyak masalah termasuk rumah tidak siap dan masalah kualiti rumah, pada 2010 kita tidak laksanakan pembinaan RMR. Kita selesaikan dulu masalah yang bukan disebabkan oleh kami," katanya kepada pemberita selepas majlis Penyerahan Inden Kerja Program RMR Peringkat Zon Utara di Alor Setar, Khamis lalu.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah. Seramai 64 kontraktor menerima inden mereka iaitu Kedah seramai 43 kontraktor, Perlis (14) dan Pulau Pinang (7).
Beliau berkata untuk tahun ini, SPNB menyasarkan untuk menyiapkan kira-kira 2,500 unit rumah di bawah program RMR yang melibatkan bajet sebanyak RM200 juta dengan setiap rumah boleh disiapkan antara empat dan enam bulan.
Terdahulu dalam ucapannya, Kamarul Rashdan berkata rumah di bawah program RMR berharga kira-kira RM75,000 dengan satu pertiga kosnya akan dibiayai kerajaan manakala bakinya ditanggung pemohon.
"Untuk membayar baki dua pertiga, kira-kira RM50,000, pemohon akan diberi pembiayaan tanpa faedah dengan bayaran bulanan sebanyak RM150 sebulan selama 26 tahun," katanya.
Katanya untuk memohon rumah di bawah RMR, pendapatan isi rumah hendak perlu di bawah RM1,500 sebulan dan rumah itu akan menjadi milik keluarga itu.
Program RMR diwujudkan bagi membantu golongan berpendapatan rendah seperti nelayan, petani dan keluarga miskin yang tidak mempunyai rumah atau tinggal di rumah usang (daif) tetapi mempunyai tanah untuk memiliki rumah sendiri yang sempurna dan lebih selesa.
Program ini pernah dikenali sebagai Skim Perumahan Keluarga Nelayan untuk golongan nelayan di Terengganu dan seterusnya diperluaskan ke seluruh negeri di Semenanjung pada September 2002 dan dikenali sebagai RMR.
No comments:
Post a Comment