Friday, February 4, 2011

Pasukan Lumba Basikal Kebangsaan Tenggelam Lagi...

Analisis Oleh Syed Riduan Ahmad (Berita Harian),3 Feb 2011

Kelab atau pasukan kebangsaan? Itu persoalan yang harus difikirkan badan induk sukan berbasikal negara, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF) mengenai penyertaan pasukan tempatan di Le Tour de Langkawi (LTdL) yang sudah 16 edisi dianjurkan.

Pada kejohanan 10 peringkat yang berakhir Selasa lalu, pasukan kebangsaan Malaysia sekali lagi tenggelam untuk akhirnya menduduki tangga ke-21 daripada 23 pasukan yang dijemput mengambil bahagian dengan Amir Mustafa Rusli muncul pelumba terbaik di tangga ke-51 keseluruhan.

Ia jauh berbanding pasukan benua tempatan - Le Tua Cyling (L2A) (tangga ke-16) dan Terengganu ProAsia Cycling (TSG) di tangga kelapan.

Kenyataannya memang pahit untuk ditelan tetapi itulah hakikatnya - dua pasukan profesional dibarisi pelumba berpengalaman luar negara untuk membantu pelumba tempatan akhirnya membawa keputusan yang lebih dihormati dan harus menjadi panduan kepada MNCF.

Selepas 16 edisi, ternyata pasukan yang menampilkan semua pelumba kebangsaan sukar untuk menyaingi pelumba handalan Asia dan Eropah, apatah lagi untuk menyaingi pelumba pasukan berstatus ProTour yang tiada dalam senarai penyertaan kali ini.

Malangnya, tanpa pelumba ProTour pun, pelumba tempatan masih sukar untuk menyerlah dan mungkin sudah tiba masanya untuk MNCF mengambil inisiatif mencari kelab pangkalan dan menghantar pelumba tempatan beraksi bersama pasukan terkemuka untuk menimba pendedahan dan pengalaman.

Dalam jangka panjang, mungkin dua atau tiga tahun, pencapaian pasukan kebangsaan dengan sendirinya akan meningkat sebaik pelumba berpangkalan di Eropah ini dipanggil menyarung jersi negara pada temasya penting seperti Sukan SEA, Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

Pasukan seperti TSG dan LeTua boleh bertindak sebagai pengantara untuk memberi pendedahan kepada pelumba negara sementara MNCF dan Majlis Sukan Negara (MSN) bertindak sebagai kilang melahirkan pelumba pelapis.

Sistem sebegini turut membantu menjimatkan kos melatih pelumba di mana menerusi pasukan seperti LeTua dan TSG yang diuruskan dengan lebih berkesan, setiap sen bajet dibelanjakan dengan berhati-hati.

No comments:

Post a Comment