Tuesday, March 1, 2011

Dua Nelayan Vietnam Cedera Parah Dalam Pergaduhan Di Pelabuhan Perikanan Cendering

Dua orang cedera parah selepas dua kumpulan nelayan warganegara Vietnam bergaduh di Pelabuhan Perikanan Cendering, di Kuala Terengganu, semalam.

Salah seorang daripada mereka ditikam di bahagian belakang rusuk kiri dan paha kanan manakala seorang lagi mengalami kecederaan di bahagian kepala dalam kejadian kira-kira 8 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP K.Manoharan berkata kedua-dua nelayan berumur 20-an itu kini dirawat di Hospital Sultan Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

Polis telah menahan enam orang yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu manakala tiga lagi melarikan diri dan dipercayai sedang bersembunyi di kawasan Bukit Cendering, katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata dua bilah parang dan sebatang besi yang dipercayai digunakan dalam pergaduhan itu telah dirampas.

Manoharan berkata Pelabuhan Cendering merupakan tempat tumpuan nelayan Vietnam dan Thailand terutama ketika bot berlabuh dan semasa kejadian terdapat kira-kira 12 buah bot berlabuh di situ.

Katanya antara pukul 4 dan 5 pagi ini, bot-bot tempatan yang menggunakan awak-awak Vietnam datang ke pelabuhan itu untuk memunggah ikan.

Beliau berkata kedua-dua kumpulan itu dipercayai mengambil minuman keras sebelum berlaku pertikaman lidah antara dua kumpulan berkenaan, diikuti dengan insiden pergaduhan itu.

No comments:

Post a Comment