Monday, March 28, 2011

8 Institut Memandu Digantung, Satu di Terengganu

Ada institut memandu (IM) dikesan menggunakan khidmat tenaga pengajar tidak terlatih serta kenderaan tiada perlindungan insurans untuk melatih calon yang mahu mendapatkan lesen memandu, kata Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan.

Beliau berkata, tindakan IM yang menggunakan tenaga pengajar serta kenderaan yang masing-masing tidak memiliki Sijil Pengajar dan Sijil Kenderaan adalah kesalahan serius, malah menjadi antara punca institut terbabit dikenakan penggantungan permit.

“Tindakan yang diambil itu selaras Kaedah 9 Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Sekolah Memandu) 1992. Secara keseluruhan, sebanyak lapan IM dikenakan tindakan gantung permit antara 2001 hingga 2010.

“Daripada jumlah itu, tiga IM di Selangor dikenakan tindakan pada 2006 (satu) dan 2007 (dua), Perak (dua - 2006 dan 2010), Terengganu (satu -2007), Kedah (satu - 2004), Johor (satu - 2001),” katanya. Solah berkata, JPJ membuat pemantauan terhadap IM di seluruh negara dari semasa ke semasa bagi memastikan semua institut itu mematuhi peraturan serta undang-undang ditetapkan.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi menjamin kualiti latihan dijalankan IM, sekali gus melahirkan generasi pemandu dan penunggang berhemah di jalan raya. “Selain itu, teguran juga dibuat terhadap mana-mana IM yang melanggar peraturan.

Sekiranya mereka gagal berbuat demikian, tindakan penggantungan atau pembatalan permit dibuat selaras Kaedah 27 Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Sekolah Memandu) 1992,” katanya.

Ketika ini, Solah berkata, sebanyak 212 IM diluluskan di seluruh negara yang meliputi 174 institut sedang beroperasi, manakala baki 38 sedang dalam pembinaan.

Daripada jumlah itu, katanya, 28 IM yang diluluskan adalah di Johor di mana 26 sudah beroperasi dan dua lagi dalam pembinaan, Negeri Sembilan (10 - lapan, dua), Kedah (15 - 14, satu), Pahang (13 - 11, dua). Perak (25 - 22, tiga), Terengganu (11 - tujuh, empat), Pulau Pinang (sembilan - tujuh, dua), Selangor (21 - 18, tiga), Kelantan (16 - 12, empat), Sarawak (28 - 17, 11), Sabah (21 - 17, empat), manakala kesemua lapan IM yang diluluskan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sudah beroperasi, begitu juga Melaka (lima) dan Perlis (dua).

No comments:

Post a Comment