Wednesday, March 2, 2011

MB Lawat Mangsa Kebakaran Kampung Seberang Marang

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, melawat mangsa kebakaran di Kampung Seberang Marang, petang semalam dan menghulurkan bantuan peribadi kepada mangsa bencana tersebut.

Dalam kejadian kira-kira 1.40 petang itu, dua rumah papan yang berdekatan antara satu sama lain, hangus sama sekali beserta dengan pelbagai kelengkapan rumah dan barang-barang peribadi.

Mangsa dan keluarga kini tinggal sementara di rumah keluarga dan diberi bantuan pakaian dan makanan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Ahmad Said berkata, disebabkan keluarga yang terlibat dengan kebakaran itu adalah penyewa, kerajaan negeri hanya memberi bantuan segera berupa sedikit wang tunai, makanan dan pakaian.

“Manakala penyewa pula tidak berhak mendapat rumah baru seperti peruntukan sedia ada kerana mereka menyewakan rumah masing-masing kepada orang lain,” katanya ketika ditemui selepas melawat rumah yang terbakar itu.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri akan mengkaji semula perkara itu dan memberi bantuan yang sewajarya kepada pemilik rumah berkenaan.

Sementara itu, Menteri Besar turut melawat Mat Rani Yusof, 57, yang menghidap penyakit strok sejak dua minggu lalu dan menyampaikan bantuan peribadi.

Bekas guru tersebut kini terlantar di rumahnya yang berdekatan dengan kediaman yang terbakar itu.

Unit Komunikasi Negeri

No comments:

Post a Comment