Sunday, April 10, 2011

Banjir: 255 dipindah di Hulu Terengganu

Hujan lebat yang turun sejak awal pagi ini menyebabkan beberapa kawasan di daerah Hulu Terengganu di naiki air.

Sehingga 6 petang ini, seramai 255 orang dari Kampung Pelandang dan Kampung Cheting dipindahkan ke empat pusat pemindahan banjir di daerah itu, mulai 4.10 petang.

Jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Hulu Terengganu berkata, seramai 40 orang dari Kampung Pelandang dipindahkan ke balai Kampung Pelandang manakala 140 pelajar sekolah pondok di kampung itu ditempatkan di masjid.

"Di Kampung Cheting pula, seramai 34 mangsa dari lapan keluarga dipindahkan ke balai raya kampung itu dan 41 orang lagi ditempatkan di Balai Raya Kampung Beris," katanya.

Beliau berkata, beberapa jalan di daerah itu turut ditutup kepada semua kenderaan apabila dinaiki air sedalam 0.5 meter hingga 1.3 meter.

Jalan terbabit ialah Jalan Kuala Berang ke FELDA Mengkawang di Kampung Perih, Jalan Kuala Berang ke FELDA Mengkawang berhampiran Kampung Lubuk Periuk dan Jalan Kuala Berang ke Sungai Tong berhampiran Kampung Kuala Ping.

No comments:

Post a Comment