Saturday, April 9, 2011

Projek Agropolitan ECER Bawa Sinar Kepada Keluarga Miskin

Satu lagi projek Agropolitan ECER di Batu 8, Mukim Bebar, Pekan, Pahang.
Sebuah projek agropolitan di Batu 8, mukim Bebar di sini telah dimulakan untuk membawa sinar harapan kepada 100 keluarga miskin di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Projek itu ialah yang kedua di Pekan selepas projek perintis agropolitan di Runchang yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Ogos 2009.

Projek perintis itu melibatkan 30 peserta Orang Asli yang diambil bekerja di 11 Unit Penternakan Haiwan (APU) bagi penternakan biri-biri Dorper. Program sosio-ekonomi bersepadu yang dilaksanakan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) itu terbukti berjaya mengeluarkan masyarakat Orang Asli berkenaan daripada kemiskinan tegar.

Setiap keluarga kini memperoleh pendapatan bulanan antara RM1,000 dan RM2,000. Pada 2010, jualan secara bidaan biri-biri Dorper di Runchang berjaya meraih jualan berjumlah RM$265,550 bagi 465 ekor biri-biri.

PENEMPATAN SEMULA

Berbeza dengan peserta Orang Asli di Runchang yang tinggal di rumah masing-masing, 100 keluarga miskin sekitar Pekan yang dipilih melalui senarai e-kasih ditempatkan di kawasan petempatan semula di Batu 8.

Setiap peserta diberikan sebuah rumah yang selesa dengan tiga bilik dan dilengkapi perabot termasuk set sofa.

Selain itu kawasan petempatan itu yang dijadual dirasmikan Perdana Menteri pada 9 April, turut dilengkapi kemudahan asas seperti dewan serbaguna, masjid, kedairuncit, taska, taman permainan dan pusat perniagaan.

Kesemua peserta projek agropolitan ini terlibat dengan penternakan biri-biri Dorper sebagai aktiviti ekonomi utama. Mereka juga menternak ayam dan itik sebagai aktiviti sekunder.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC Datuk Jebasingam Issace John berkata Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dilantik sebagai agensi pelaksana yang bertanggungjawab mengambil peserta, menyediakan latihan dan sokongan teknikal, memantau kualiti produk serta melaksanakan khidmat pembelian semula produk bagi projek agropolitan itu.

Pada masa ini, sebanyak 30 APU yang menempatkan 3,000 biri-biri beroperasi sejak Februari lepas.

Beliau berkata 30 APU lagi akan siap dibina menjelang Julai tahun ini bagi meningkatkan lagi pengeluaran biri-biri Dorper yang kini sinonim dengan panggilan "Dorper Pekan" dan mendapat sambutan menggalakkan di pasaran.

"Kami menjangkakan pendapatan bulanan isi rumah ini akan meningkat daripada RM1,000 hingga RM2,000 dalam tempoh tiga tahun pertama kepada RM5,000 dalam masa lapan tahun akan datang," katanya dalam sesi taklimat media di Pekan.

Katanya walaupun peserta dibayar gaji harian RM40 bagi setiap lapan jam bekerja, namun peningkatan pendapatan itu mampu dicapai melalui hasil aktiviti sekunder. Malah setiap peserta juga akan diberi insentif khas hasil keuntungan projek berkenaan.

KEHIDUPAN LEBIH BAIK

Bagi Hasan Iloi, 51, peluang menyertai projek agropolitan itu merubah kehidupannya sekeluarga. Beliau berkata kerja kampung termasuk mengambil upah menoreh getah yang dilakukannya dahulu di Kampung Pelak, Paloh Hinai dekat Pekan menjadikan kehidupannya agak tidak menentu.

"Dulu pendapatan sekitar RM500 sebulan, agak sukar untuk hidup dengan wang sebanyak itu, tetapi dengan pendapatan lebih RM1,000 sebulan kini, ada rumah sendiri, selesalah sedikit kehidupan," katanya.

Malah, isterinya, Norazimah Abu Talib, 43, turut memanfaatkan benih tanaman sayur-sayuran seperti bendi, terung, sawi dan cili yang dibekalkan ECERDC dan Felda dengan bercucuk tanam di halaman rumah.

Katanya selain menghijaukan halaman rumah, sayur-sayuran tersebut dapat digunakan untuk masakan, sekaligus menjimatkan kos perbelanjaan harian. Sementara itu, Zahariah Mahusin, 42, melahirkan rasa syukur dengan rezeki diperoleh kini yang sedikit sebanyak meringankan beban membesarkan dua anaknya berumur lapan dan lima tahun.

"Di sini juga ada disediakan taska, jadi saya tidak terlalu bimbang mengenai anak apabila keluar bekerja," kata ibu tunggal itu.

Walaupun bidang penternakan haiwan berbeza dengan kerja tukang sapu yang dilakukan sebelum ini, namun beliau akan berusaha melaksanakannya dengan sebaik mungkin.

Dalam pada itu, Jebasingam berkata selain memberi fokus kepada membasmi kemiskinan dan menyediakan pendapatan mapan untuk peserta, ECERDC turut mengambil inisiatif memperkenaln program "Sinar ECER", bertujuan meningkatkan kemahiran anak peserta dari segi akademik dan sosial.

Beliau berkata program itu menggabungkan tiga modul -- kelas tuisyen untuk pelajar menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), hari interaktif yang memfokuskan kemahiran pengucapan awam dan keyakinan diri serta 'kids camp' yang menumpukan kepada kemahiran pengurusan.

"Kita mahu generasi kedua ini lebih berjaya dengan tahap pendidikan dan kerjaya yang lebih baik," katanya.

AGROPOLITAN KELANTAN, TERENGGANU

Selain Runchang dan Batu 8, satu lagi lokasi di Tanjung Batu di Pekan bakal dimajukan dengan aktiviti perladangan kelapa sawit yang akan dilaksanakan pada Februari 2012.

Kira-kira 200 orang akan dipilih menyertai program itu yang akan diintegrasikan dengan aktiviti perusahaan burung walit sebagai sumber pendapatan sekunder mereka.

Perancangan sedang dibuat untuk meluaskan projek agropolitan ke dua lagi negeri di Pantai Timur -- Kelantan dan Terengganu.

Di Kelantan, 10 peserta perintis terlibat dalam aktiviti utama perladangan kelapa sawit di Gua Musang. Aktiviti sekunder mereka termasuk akuaponik dan penanaman koko. Seramai 350 peserta lagi dijangka menyertai program itu pada Julai tahun ini.

Sementara di Terengganu, 100 buah rumah dan 52 kandang bagi penternakan kambing Boer akan dibina menerusi projek agripolitan Besut-Setiu.

Fasa satu projek berkenaan melibatkan pembinaan 38 rumah, 20 kandang dan kawasan tanaman rumput, yang dijangka siap pada Ogos. Rencana BERNAMA

No comments:

Post a Comment