Saturday, April 16, 2011

DPMMT mahu wujudkan 20 T-Hardware

Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Terengganu (DPMMT) akan menjalin kerjasama dengan Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) bagi menubuhkan T-Hardware di negeri ini.

Yang Dipertua DPMMT, Datuk Ir. Tengku Ismail Tengku Jaafar berkata, buat permulaan sebanyak 20 unit T-Hardware dijangka beroperasi di seluruh negeri tahun ini dengan kos pembinaan RM200,000 seunit. Menurutnya, inisiatif berkenaan diwujudkan bagi meningkat dan memantapkan penyertaan bumiputera dalam Sistem Binaan Industri (SBI) dalam pasaran.

"T-Hardware akan beroperasi dengan jenama tersendiri sebagai gedung untuk peruncit dan pemain industri pembinaan bagi mendapatkan pelbagai produk dengan harga lebih kompetitif.

"Selain menonjolkan bentuk perniagaan hardware yang tersusun dan sistematik, perniagaan ini mampu menjana hasil jualan sehingga RM5 juta setahun bagi setiap unit,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis taklimat oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputra (Teraju) anjuran DPMMT di sini hari ini.

Taklimat itu disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, Mohd. Husni Mohamad Salleh.

Tambah Tengku Ismail, pelan berkenaan diharap mampu menjana daya saing bumiputera dalam sektor itu di negeri ini serta memenuhi hasrat kerajaan untuk mengindustrikan sektor pembinaan sepenuhnya.

"Pelaksanaan landskap ini adalah melalui pendekatan perkongsian pintar dengan jabatan atau agensi kerajaan yang aktif dalam bidang pembinaan seperti Kementerian Kerja Raya dan CIDB (Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan)," katanya.

Sementara itu katanya, kerjasama itu juga berhasrat untuk membina hardware induk yang lebih besar dan dilengkapi teknologi terkini yang bertindak sebagai pembekal dan pengedar kepada cawangan T-Hardware.

"Hardware yang bernilai kira-kira RM5 juta itu akan dibina di Kemaman bagi melengkapkan perkembangan industri ini dan pihak kami yakin industri ini membawa pulangan sehingga RM300 juta setahun," katanya.

No comments:

Post a Comment