Friday, April 8, 2011

Jabatan Perpaduan Negara Tubuh 126 Sekretariat Rukun Negara



Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) menubuhkan 126 Sekretariat Rukun Negara (SRN) melibatkan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan swasta sehingga tahun lepas.

Ketua Pengarah JPNIN Datuk Azman Amin Hassan berkata sebanyak 3,653 Kelab Rukun Negara (KRN) diwujudkan di sekolah-sekolah menengah dan rendah di seluruh negara.

"Bagi penubuhan SRN kita sediakan geran pelancarannya sebanyak RM3,000 manakala bagi KRN pula sebanyak RM1,000 sebagai permulaan untuk mereka melaksanakan aktiviti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas merasmikan program Kem Pemantapan Kendiri dan Kepimpinan Sekretariat Rukun Negara Survival Laut anjuran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di pulau Bidong dekat Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor UMT Prof Dr Yahaya Ibrahim.

Azman Amin berkata, bagi tahun ini JPNIN akan bergerak lebih aktif lagi dengan menyasarkan untuk mewujud sebanyak 20 SRN dan 500 KRN di seluruh negara yang melibatkan peruntukan kira-kira RM3.6 juta.

Katanya, di bawah SRN tiga komponen lain akan dilaksanakan iaitu program berbentuk motivasi yang akan diadakan di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), program kolokium yang berbentuk akademik di Universiti Utara Malaysia (UUM) dan program bersama komuniti masyarakat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Mengenai Program Survival Laut, Azman Amin berkata, ia memberi fokus kepada ketahanan diri di samping jejak warisan di mana pulau itu mempunyai sejarah tersendiri yang merupakan pulau penempatan pelarian Vietnam satu ketika dulu.

"Ini akan dapat memperkayakan lagi pengetahuan pelajar tentang sejarah negara kita dan mereka dapat melihat sendiri peninggalan yang ada di Pulau Bidong," katanya.

Program Survival Laut yang diadakan selama tiga hari dan berakhir hari ini disertai 10 buah IPTA dan IPTS melibatkan 152 peserta dari seluruh negara.

No comments:

Post a Comment