Malang bertimpa bagi seorang wanita yang bukan saja diceraikan selepas menemui suaminya bersama wanita lain, malah mengalami kecederaan apabila kaki kanannya dilanggar kereta dipandu lelaki terbabit, awal pagi kelmarin.
Sebelum kejadian berhampiran sebuah stesen minyak di Balok, mangsa berusia 35 tahun datang ke bandar ini untuk bertemu suaminya berusia 39 tahun yang tidak pulang ke rumah mereka di Dungun, Terengganu sejak dua minggu lalu selepas memaklumkan mempunyai kerja membaiki kenderaan di bandar ini.
Difahamkan mangsa datang ke rumah sepupunya di Taman Balok Makmur, di Kuantan yang menjadi rumah tumpangan suaminya, Selasa lalu selepas dimaklumkan suaminya mempunyai hubungan dengan seorang janda beranak dua berusia 38 tahun.
“Selepas menunggu beberapa jam, suami pulang ke rumah terbabit kira-kira jam 2 pagi dan terkejut melihat saya berada di rumah.
Dia kemudian bergegas keluar semula dari rumah menuju ke keretanya sebelum masuk kembali ke rumah dan melarikan diri melalui pintu belakang.
“Saya kemudian pergi ke kereta suami dan melihat seorang perempuan dan seorang lelaki dipercayai rakan suami berada di dalamnya. Sebaik ditanya, perempuan terbabit mengaku kekasih suami.
“Saya memaksa wanita itu untuk mengumpan suami supaya mengambilnya di sebuah stesen minyak berdekatan supaya saya juga boleh bertemunya,” katanya ketika dihubungi.
Mangsa berkata, kira-kira jam 6 pagi, suaminya datang ke tempat dijanjikan menaiki kereta lain bagi menjemput wanita itu dan sebaik melangkah keluar dari kenderaan, suaminya sekali lagi tergamam melihatnya turut berada di lokasi itu bersama dua adiknya.
“Sebaik wanita terbabit menaiki kenderaan, saya cuba merapati suami untuk berbincang, namun dalam keadaan berang beliau memarahi dan memaki hamun sebelum menceraikan saya. “Saya kemudian ditolak dan dalam keadaan kelam kabut untuk beredar, suami yang memandu kenderaan melanggar kaki kanan saya,” katanya.
Ibu yang mempunyai anak tujuh berusia sembilan bulan hingga 19 tahun kemudian dibantu dua adiknya membuat laporan polis di Balai Polis Beserah dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) bagi mendapatkan rawatan lututnya.
Sementara itu Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan Mohd Haris Daud, ketika ditemui mengesahkan menerima laporan dan kejadian disiasat mengikut Seksyen 337 Kanun Keseksaan.
No comments:
Post a Comment