Thursday, April 14, 2011

JTLM Tingkat Pemantauan Pencerobohan Taman Laut

Kaharudin Momin (dua dari kanan) menyerahkan sijil kerjasama kepada Sukarno Wagiman (dua dari kiri) sambil diperhatikan Aziyah Mohamed (tengah) di Pulau Redang, baru-baru ini.

Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) akan meningkatkan pemantauan di seluruh perairan yang berdekatan taman laut terutamanya di Pahang yang mencatatkan kes pencerobohan tertinggi sejak dua tahun lalu.

Ketua Pengarahnya, Dr. Sukarno Wagiman berkata, daripada 74 kes yang dikesan di seluruh perairan negara pada 2009, sebanyak 29 kes berlaku di negeri itu.

"Bagaimanapun pemantauan agresif JTLM bukan sahaja berjaya menurunkan kadar kes pencerobohan di perairan itu malah turut memberi kesan di seluruh negara apabila dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini hanya 12 kes dikesan berbanding 20 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu.

"Daripada jumlah itu, pencerobohan taman laut di perairan Kedah dikesan paling banyak berlaku iaitu lima kes dan semakin berkurangan di perairan Terengganu dan Pahang," katanya pada majlis penutup Kem Pendidikan Marin anjuran JTLM dengan kerjasama Persekutuan Pengakap Malaysia di Taman Laut Pulau Redang, Kuala Terengganu kelmarin.

Kem yang dianjurkan selama tiga hari melibatkan kira-kira 100 peserta daripada Unit Pengakap Laut itu dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha 1 Kementerian Sumber Asli dan Alam sekitar, Datuk Aziyah Mohamed.

Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Datuk Kaharudin Momin.

Dalam pada itu, Sukarno berkata, JTLM melatih 100 penyelam untuk mengawasi aktiviti pengunjung agar mereka tidak merosakkan batu karang. Sebelum ini, katanya, JTLM menggunakan pendekatan penguatkuasaan secara makro iaitu kesalahan umum seperti menangkap ikan atau melabuhkan sauh di atas terumbu karang.

"Tahun ini, JTLM melaksanakan penguatkuasaan secara mikro iaitu memantau kesalahan yang dilakukan oleh pengunjung yang memijak atau mematahkan karang ketika aktiviti snorkeling dan menyelam.

"Bagaimanapun untuk peringkat awal ini, kita menasihati terlebih dahulu pesalah terlibat dan jika masih melakukannya, tindakan tegas akan diambil.

"Kita juga melakukan pemeriksaan di jeti bagi mengelakkan penyeludupan batu karang," katanya.

No comments:

Post a Comment