Thursday, April 28, 2011

Kerajaan Terengganu Sediakan Biasiswa Kepada Pelajar Atlet Sukma

Kerajaan Terengganu akan menyediakan biasiswa kepada pelajar yang terpilih menjadi atlet Sukan Malaysia (Sukma) bagi menyemarakkan lagi semangat mereka dalam sukan.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata kerajaan memutuskan mulai 1 Jun ini, pelajar yang mewakili Sukma, masing-masing akan diberi biasiswa RM60 sebulan.

Beliau berkata 690 pelajar sekolah di Terengganu termasuk Sekolah Sukan Bukit Jalil yang menjadi atlet Sukma negeri itu akan diberi biasiswa mulai Jun ini, yang melibatkan peruntukan RM565,000.

"Ini merupakan satu usaha kerajaan memberi pengiktirafan kepada pelajar yang menjadi atlet Terengganu supaya mereka terus dapat mendominasi Sukma," katanya selepas mesyuarat mingguan Exco di sini pada Rabu. Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Rozi Mamat.

Menurutnya selain pelajar Sekolah Sukan Bukit Nenas di Kuala Terengganu, pelajar di beberapa sekolah lain yang juga menjadi atlet Sukma Terengganu seperti sekolah Menengah Padang Midin dan Sekolah Menengah Tengku Ampuan Intan di Kuala Berang, turut diberikan biasiswa.

"Sekolah-sekolah itu masing-masing mempunyai acara atau program tertentu seperti permainan bola sepak, sepaktakraw, hoki dan sebagainya. Bagaimanapun yang paling ramai adalah pelajar dari Sekolah Sukan Bukit Nanas iaitu melebih 600 orang," katanya.

Ahmad Said berkata biasiswa itu akan diberi kepada pelajar selagi mereka menjadi atlet Sukma sehingga mereka berumur 21 tahun.

No comments:

Post a Comment