Thursday, April 28, 2011

Yunus Direhatkan, Mampukah T-Team Perbaiki Kedudukan?

Saksikan sendiri perasaan dan tuntutan penyokong T-Team. Mereka mahu pengurusan ditukar...bukan sekadar jurularih. - Gambar : Harith Fadzillah.

Analisis Shahrir Hamid

Kemenangan 3-1 ke atas Kedah di halaman sendiri malam kelmarin mungkin permulaan baru pasukan kelab T-Team walaupun tanpa khidmat ketua jurulatih yang direhatkan.

Sepanduk peminat meminta pertukaran pihak pengurusan pasukan terpampang di setiap ceruk stadium.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam kelmarin anak buah yang dibimbing pengganti ‘sementara’ Yunus Alif tidak menunggu lama untuk membolosi gawang Kedah menerusi Indra Putra Mahayuddin yang merembat deras hantaran lintang Harris Safwan Kamal, dua minit sebaik permainan bermula.

Kedah memastikan kedudukan kembali seimbang sebelum rehat menerusi Baddrol Bakhtiar yang menewaskan penjaga gol tuan rumah, Syamsuri Mustaffa selepas pemain pertahanan, Sobri Sulong gagal mengeluarkan bola dari dalam kotak penalti.

Namun T-Team menambah dua gol lagi menerusi pemain gantian, Shamsul Kamal Mohamad (m-83) dan Zairol Anuar Zailani pada masa tambahan.

Namun kemelut yang melanda skuad tajaan Persatuan Belia dan Sukan Daerah Kuala Terengganu, T-Team ditunjukkan perminat sejak dua hari sebelum perlawanan dengan Kedah.

Ternyata dengan hanya mencatat empat kemenangan daripada 14 perlawanan, tiga seri dan tujuh kalah sebelum kemenangan dengan Kedah, jurulatih serta pengurusan T-Team menerima tamparan hebat.

Ada pihak meluahkan rasa kecewa menerusi kain rentang yang dipasang di beberapa lokasi di bandar raya ini, sebelum merebak ke dalam stadium malam kelmarin.

Tukar...jurulatih T-Team. Rombak...pengurusan...daripada T-Team Fan Club”. Itulah luahan rasa pada kain rentang yang dipercayai dibuat sendiri penyokong pasukan berstatus kelab itu, susulan prestasi merudum pasukan bimbingan Yunus dalam saingan Liga Super musim ini.

Desakan yang meminta jurulatih ditukar dan rombakan pada pengurusan secara jelas mencerminkan ketidakpuasan hati peminat bola sepak, khususnya penyokong T-Team, untuk melihat perubahan drastik dibuat bagi menajamkan kembali taring pasukan.

Yunus dua hari sebelum perlawanan menyatakan akur dengan sebarang tindakan yang bakal diambil pihak pengurusan itu berhubung ada desakan yang meminta agar beliau ditukar.

“Saya menyerahkan kepada pihak pengurusan untuk memutuskan perkara ini (tukar jurulatih) sama ada ingin mengekalkan saya sebagai ketua jurulatih atau tidak.

Menurutnya, sebagai jurulatih, beliau telah memberikan khidmat terbaik kepada pasukan di bawah kendaliannya itu, namun tetap mengakui hakikat dunia bola sepak di mana apabila menang akan disanjung, tetapi setelah kalah dicemuh pula.
Ramalannya benar belaka.

Beberapa tindakan diambil dalam usaha mempertingkatkan prestasi skuad itu.
Yunus direhatkan oleh pihak pengurusan T-Team setelah prestasi kurang memuaskan pasukan berkenaan dalam kejohanan Liga Super ketika ini.

“ Kita mengambil serius mengenai prestasi T-Team dan selepas mendapat persetujuan pihak pengurusan, kita merehatkan Yunus buat sementara waktu,” kata Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Rozi Mamat ketika memberitahu media selepas mesyuarat kerajaan negeri di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.

Ini bermakna bukan pengurusan yang ditukar tetapi hanya membabitkan jurulatih!

Rozi ketika ditanya mengenai reaksi Yunus selepas mendengar keputusan untuk merehatkannya, menjelaskan Yunus menerima baik keputusan daripada pihak pengurusan bagi kepentingan bersama.

Keputusan berkenaan juga mengambil kira cadangan daripada peminat yang merupakan nadi pasukan.

Dua calon telah dikenalpasti bagi menggantikan Yunus untuk memperkemaskan skuad T-Team untuk menempuh baki perlawanan Liga Super akan datang. Cik Ku Marzuki Mohd Noor yang juga bekas pengendali T-Team musim lepas serta Yusof Ali, bekas pemain bolasepak Terengganu dikatakan bakal menggalas cabaran sebagai pemangku jurulatih skuad berstatus kelab itu.

Tindakan pihak pengurusan yang merehatkan sementara Yunus dipercayai untuk meredakan suasana 'panas' membabitkan pasukan berkenaan ternyata tidak mencacatkan aksi kesemua pemain.

“ Jika kedua mereka menunjukkan prestasi memuaskan, pihak pengurusan tidak akan teragak-agak menyerap terus mereka mengetuai T-Team dan seterusnya merealisasikan impian mengecapi salah satu kejuaraan berprestij dalam arena bolasepak negara pada musim ini,” katanya lagi.

Kejayaan Yunus membantu T-Team mencapai kemenangan ke atas pasukan elit dalam Liga Super iaitu Selangor serta Kelantan menampakkan peningkatan skuad itu, namun kalah kepada pasukan ‘underdog’, Kuala Lumpur 3-1 menampakkan kegoyahan permainan pasukan berkenaan.

No comments:

Post a Comment