Friday, April 15, 2011

Tiga Pelajar Perempuan KIST Maut, Dua Cedera Parah

Tiga pelajar wanita Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST), Jelawat, Bachok, Kelantan terbunuh manakala dua lagi rakan mereka cedera parah apabila kereta dinaiki bertembung dengan sebuah lori tangki minyak dalam satu kemalangan di kilometer 3, Jalan Jerteh-Kuala Terengganu dekat Kampung Gerai, Bukit Kenak di Jerteh, pagi kelmarin.

Mangsa yang terbunuh ialah pemandu kereta Perodua Viva Nordiana Mohd Noor,22 yang berasal dari Kota Tinggi, Johor, Zur Iras Zakaria, 19 dari Kampung Titian Baru, Atas Tol, Kuala Terengganu dan Nurul Shahidah Abdul Jabar,19 dari Taman Rahmat, Tanah Merah, Kelantan.

Mereka yang cedera ialah Bazilah Abdullah, 19 dari Kampung Tiong Dalam, Kota Bahru dan Nur Adilah Mohd Ghazali, 19 dari Kampung Kelewek, Batu Gajah, Tanah Merah, Kelantan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, DSP Noor Zainy Mohd Noor berkata kemalangan berlaku kira-kira pukul 6 pagi apabila kereta Perodua yang dinaiki lima sekawan dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kerteh itu dipercayai cuba memotong sebuah lori di hadapan mereka.

"Bagaimanapun, ketika cuba memotong lori berkenaan, kereta yang dinaiki oleh lima pelajar KIST ini telah bertembung dengan sebuah lori tangki minyak kosong dari arah bertentangan yang ketika itu menghala ke Kuala Terengganu.

"Pertembungan itu menyebabkan kereta tersebut terpusing balik ke arah Kuala Terengganu dan seorang daripada mangsa tercampak keluar dari kereta manakala lori tangki Petronas termasuk ke dalam parit," katanya kepada pemberita ketika ditemui di bilik mayat Hospital Daerah Besut kelmarin.

Katanya, dua daripada mangsa iaitu Nordiana dan Zur Iras meninggal dunia di tempat kejadian manakala Nur Adilah meninggal dunia di Hospital Daerah Besut.

Mangsa yang cedera, katanya dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan untuk rawatan lanjut.

Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian supaya tampil untuk membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Insp Faisal Deros melalui talian telefon 0133293760.

Sementara itu, pemandu lori tangki Petronas Khairi Ayub,43, berkata kejadian itu berlaku terlalu pantas dan beliau tidak sempat mengelak apabila ternampak kereta yang dinaiki pelajar itu datang dari arah bertentangan.

"Saya cuba mengelak dari melanggar kereta itu sehingga lori yang dipandu saya sendiri terbabas di kiri jalan dan melanggar sebatang pokok serta sebuah pondok menunggu bas sebelum termasuk dalam sebuah parit," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Khairi yang berasal dari Kampung Alor Keladi, Jerteh, Terengganu bagaimanapun hanya cedara ringan dan diberikan rawatan sebagai pesakit luar.

Seorang rakan kolej mangsa yang juga rakan seasrama mangsa, Norashikin Nasri, 19 dari Bukit Payong, Kuala Terengganu pula berkata kesemua mangsa terlibat adalah pelajar semester empat dalam jurusan kejururawatan.

No comments:

Post a Comment