Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) fasa 2 dari persimpangan Gemuroh, Tepoh di Kuala Terengganu ke persimpangan Bukit Besi, Dungun dijangka dibuka selewat-lewatnya akhir tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, kerja-kerja terakhir membabitkan projek itu yang berdepan dengan masalah kelewatan sebelum ini kini hampir 92 peratus siap.
Menurutnya,LPT 2 secara keseluruhan yang membabitkan kos RM3.69 billion dari Gemuroh ke persimpangan Ceneh, Kemaman sejauh 184 kilometer itu kini 73 peratus siap.
Menurut beliau, apabila siap sepenuhnya kelak, perjalanan ke Kuantan hanya mengambil masa lebih kurang dua jam, manakala ke Kuala Lumpur kira-kira empat jam setengah.
“Pembinaan ini bukan saja menjimatkan masa dan memberikan lebih keselesaan kepada pengguna, malah mampu menarik lebih ramai pelancong ke Terengganu,” ujarnya.
Beliau berkata, pelbagai kemudahan disediakan termasuk 10 persimpangan bertingkat, tiga kawasan rehat dan rawat (R&R), dua hentian rehat dan tiga stesen timbang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Beliau menyatakan demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke LPT fasa 2, petang kelmarin.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Tepoh, Muhammad Ramli Nuh; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Datuk Mat Razali Kassim; Datuk Bandar MBKT, Datuk Adzlan Dagang dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Wan Nawawi Wan Ismail serta Pengarah Pembinaan LPT, Ir. Adnan Ibrahim.
Menurut Ahmad Said, projek yang terbahagi kepada dua pelaksana iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) mengalami kelewatan kira-kira setahun dan berharap ia dapat dipercepatkan.
Katanya, banyak faktor yang menjejaskan pencapaian projek itu termasuk mendapan tanah, di samping kenaikan harga barang dan kecurian kabel elektrik.
Sementara itu, Ir. Adnan berkata, kajian terhadap kesan Penilaian Alam Sekitar (EIA) untuk keseluruhan projek itu dibuat dua kali seminggu bagi mengesan dan mengelak pemendapan tanah terus berulang.
No comments:
Post a Comment