Saturday, April 16, 2011

Menang Ke Atas Felad United - Terengganu Rampas Takhta Liga Super

Jaringan tunggal Hardi Yahya bukan setakat membantu kemenangan Terengganu menewaskan Felda United 1-0 tetapi juga membantu pasukan pantai timur itu merampas kedudukan selaku pendahulu Liga Super daripada Selangor di Stadium Sultan Ismail, malam tadi.

Begitupun, kedudukan Terengganu belum pasti selamat kerana Selangor berpeluang merampas kembali kedudukan itu seandainya mereka menundukkan Perak dalam perlawanan di Stadium Shah Alam, malam ini.

Terengganu kini mengutip 24 mata, manakala Selangor ketinggalan satu mata dan Perak yang ketinggalan dua mata juga berpeluang merampas kedudukan itu sekiranya menewaskan pasukan Merah Kuning itu.

Walaupun menguasai permainan tetapi pelawat jelas tumpul di barisan depan sebelum Hardi memecahkan kebuntuan dengan menjaringkan gol kemenangan tuan rumah menerusi rembatan cantik pada minit ke-61.

Sementara itu, dalam saingan Liga Perdana, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seri 1-1 dengan Pos Malaysia di Stadium Selayang dan SDM Navy pula mencatat kemenangan sulung dengan menundukkan Pulau Pinang 3-0 di Stadium Negeri Batu Kawan.

Polis menewaskan Majlis Perbandaran Muar 2-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi; Universiti Sains Malaysia (USM) menundukkan Sime Darby 2-0 di Stadium USM, manakala Johor menang 3-0 ke atas Harimau Muda B di Stadium Larkin.

No comments:

Post a Comment