Tuesday, April 26, 2011

Pertumbuhan Ekonomi Boleh Terjejas Akibat Kebakaran

Sebahagian peserta pada pembentangan kertas kerja Seminar Keselamatan Kebakaran, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Terengganu di Ri-Yaz Heritage, Pulau Duyong, semalam.

Kerugian disebabkan kebakaran memberi impak yang negatif secara tidak langsung terhadap pertumbuhan ekonomi negara, kata Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Amer Yusof.

"Para pelabur asing akan menilai sejauh mana tahap keselamatan kebakaran yang diwujudkan oleh sesebuah negara sebelum mereka datang untuk melabur," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Keselamatan Kebakaran Negeri Terengganu di Ri-Yaz Heritage, Pulau Duyong di Kuala Terengganu, semalam. Hadir sama Pengarah JBPM negeri, Md. Salleh Sarbini.

Maka, katanya, adalah tidak betul tanggapan sesetengah orang bahawa jika kebakaran itu tidak melibatkan mereka, kerugian yang dialami akibat kebakaran itu tidak akan memberi apa-apa kesan kepada mereka.

Amer juga berkata bahawa sebanyak 89 kematian dilaporkan berlaku akibat kebakaran tahun lepas di seluruh negara.

Daripada 29,341 panggilan kebakaran yang diterima sepanjang tahun lepas, kerugian ditaksirkan berjumlah RM756.7 juta, katanya.

Mengenai sijil perakuan keselamatan bomba (FC), beliau berkata pemilik bangunan di negeri ini yang diwajibkan memiliki FC digesa segera mengemukakan permohonan berikutan hanya separuh daripada mereka yang telah berbuat demikian.

Amer berkata, setakat ini hanya 58 daripada 106 premis yang diwajibkan memiliki sijil berkenaan telah memperolehnya.

Menurut beliau, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pemilik premis yang enggan berbuat demikian di bawah Seksyen 33, Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341).

"Di bawah akta ini, pemilik tersebut boleh didenda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan," katanya.

Sesebuah premis yang telah ditetapkan untuk mendapatkan sijil itu dikategori berdasarkan jenis penggunaan, saiz dan tempat ia digunakan di bawah Seksyen 27, Akta Perkhidmatan Bomba 1988.

No comments:

Post a Comment