Sunday, April 24, 2011

Terengganu Tuan Rumah Kejohanan Badminton dan Boling Bakti

Badan Amal Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Terengganu (Serikandi) akan menjadi tuan rumah kepada Kejohanan Badminton dan Boling Badan Amal Kebajikan Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) dari 6 hingga 9 Julai depan.

Yang Dipertua Serikandi yang juga isteri Menteri Besar, Toh Puan Seri Norliza Mamud berkata, tahun ini merupakan kali kedua Terengganu dipilih menjadi tuan rumah kejohanan tersebut selepas kali pertama pada 1995 yang hanya melibatkan sukan badminton.

Katanya, isteri Perdana Menteri yang juga Yang Dipertua Bakti, Datin Seri Rosmah Mansor adalah antara kira-kira 500 ahli yang mewakili 14 persatuan di negeri-negeri akan bertandang ke Kuala Terengganu.

Beliau berkata, dua lokasi bagi kejohanan itu ialah di Stadium Negeri untuk acara badminton manakala Terengganu Equestrian Resort (TER) Kuala Ibai bagi acara boling.

“Bagi memastikan kejohanan tersebut berjalan lancar dan sempurna, persiapan telah mula dibuat sejak awal tahun lagi,” katanya selepas majlis perasmian Mesyuarat Agung Serikandi kali ke-24 yang dirasmikan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang di Dataran Marang di Marang, semalam.

Beliau yang akan menyertai acara badminton pada kejohanan itu berkata, beberapa ahli Serikandi yang terlibat dengan kejohanan tersebut telah mengadakan latihan intensif bagi memastikan Serikandi selaku tuan rumah menjuarai acara yang dipertandingkan.

Terdahulu, ketika berucap pada majlis itu, Norliza berkata, Serikandi membelanjakan kira-kira RM70,000 bagi menyampaikan sumbangan kepada badan-badan kebajikan dan Pusat Dalam Komuniti (PDK) Parlimen di seluruh negeri.

No comments:

Post a Comment