Monday, April 11, 2011

Sembilan Taman Laut DiJangka DiBuka Semula

Sembilan lokasi menyelam di taman laut beberapa buah pulau yang ditutup ekoran masalah kelunturan karang sejak Jun tahun lalu, dijangka akan dibuka semula tidak lama lagi.

Ketua Pengarah Jabatan Taman Laut Malaysia Dr Sukarno Wagiman berkata kawasan itu ditutup ekoran keadaan batu karang yang teruk terjejas berikutan perubahan suhu air laut ketika itu, namun keadaan kini didapati sudah pulih antara 90 hingga 100 peratus.

Beliau berkata pihaknya sudah memaklumkan perkembangan terbaru itu kepada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar untuk menentukan masa paling sesuai untuk ia dibuka semula.

“Mengikut pemantauan, kami dapati keadaan air laut yang bertambah baik membolehkan pemulihan karang mencapai sehingga 90 dan 100 peratus,” katanya selepas melancarkan Program Khidmat Sosial Korporat Bank Rakyat melabuhkan tiga tukun mesin Pengeluaran Wang Automatik (ATM) dan pembersihan pantai di Taman Laut Pulau Perhentian, di Besut kelmarin.

Turut hadir ialah Ketua Wilayah Timur Bank Rakyat, Berhanuddin Che Abdullah. Antara lokasi menyelam yang ditutup ialah di Pulau Perhentian, Pulau Redang, Pulau Tenggol serta beberapa lokasi di Pahang dan Kedah. Sementara itu mengulas penerimaan pihak-pihak yang mempunyai kepentingan berhubung penutupan kawasan itu, terutama pengendali pelancong, Sukarno berkata kerjasama yang diberikan mereka amat memberansangkan.

“Malah ada yang turut mengemukakan pelbagai cadangan seperti menutup lokasi selaman secara berkala untuk memulihkan batu karang,” katanya.

Pada majlis itu Bank Rakyat dan sebuah syarikat swasta Dorken Reef Resources yang terlibat dalam penyelidikan serta pembuatan tukun seramik, turut menyumbang 75 unit tukun seramik dan beberapa komponen lain pada mesin itu untuk dijadikan tukun tiruan.

No comments:

Post a Comment