Sunday, April 24, 2011

Terengganu Menang 3-0, T-Team Kecundang 1-2

Penyerang Terengganu mengelecek dua pemain Perak pada perlawanan Liga Super di Kuala Terengganu, malam semalam. Gambar - Harith Fadzillah.

Selangor kekal mendahului Liga Super dengan 32 mata, empat mata mengatasi pasukan Terengganu yang mencatat kejayaan mengalahkan Perak 3-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam semalam.

Kemenangan Terengganu semalam juga menyaksikan mereka melonjak ke tangga kedua liga dengan kelebihan satu mata ke atas Kelantan yang menang 4-0 ke atas Perlis kelmarin.

Di Stadium JCorp, Pasir Gudang, satu lagi pasukan Terengganu, iaitu T-Team kecundang kepada Johor FC 1-2.

Di Stadium Likas, pendahulu liga, Selangor bangkit daripada ketinggalan untuk mengatasi Sabah 2-1. Rosdin Wasli terlebih dahulu meletakkan Sabah di hadapan pada minit ke-11.

Namun, Selangor berjaya mendapat kemenangan bagi mengekalkan kelebihan empat mata di atas pencabar terdekat Terengganu menerusi jaringan daripada Bunyamin Umar pada minit ke-35 dan Amri Yahyah pada minit ke-65.

Sementara itu Selepas enam perlawanan, Mohd. Azraai Khor Abdullah akhirnya mengecap kemenangan pertama bersama Negeri Sembilan dengan kemenangan 3-1 ke atas Pahang di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, semalam.

Kejayaan itu hadir selepas keputusan berani bekas pengendali Harimau Muda itu menggunakan tiga pemain Piala Presiden di dalam kesebelasan utama selain memilih menggunakan khidmat Mohd. Farizal Harun selaku penjaga gol utama menggantikan Farizal Marlias.

Negeri Sembilan sudah berada di hadapan semenjak minit ke-13 apabila Shahurain Abu Samah menjaringkan gol menerusi sepakan penalti pada ke-13.

Semangat Pahang untuk melawan semakin longlai pada minit ke-28 selepas pemain tinggi lampai, G. Mahathevan menanduk masuk hasil bola yang berpunca daripada sepakan sudut daripada sebelah kiri.

Kedudukan skuad Hoben Jang Hoben bertambah kukuh apabila penyerang muda, Mohd. Firdaus Azizul merembat deras dari penjuru kiri gol Pahang pada minit ke-58.

Pahang mendapat gol saguhati pada minit ke-77 menerusi percubaan jarak jauh menarik daripada R. Kartigesu.

Harimau Muda A pula menebus kekalahan 1-0 ke atas Kedah pada Rabu lalu apabila menang 2-1 di Stadium Darul Aman.
P
enyerang kebangsaan, Izzaq Faris Ramlan membuka tirai jaringan pada minit ke-29 sebelum Mohd. Fandi Othman menambah jaringan Harimau Muda A pada minit ke-55 hasil daripada sepakan percuma. Kedah mendapat gol tunggal melalui sepakan penalti yang diambil Baddrol Bakhtiar pada minit ke-63.

No comments:

Post a Comment