Tuesday, May 10, 2011

Pemindahan Teknologi Untuk Nelayan Akan Dipergiat - Jabatan Perikanan

Jabatan Perikanan akan mempergiat usaha pemindahan teknologi baru kepada nelayan menerusi pelbagai program, termasuk meningkatkan kemahiran mereka bagi memastikan bekalan sumber protein itu mampu memenuhi keperluan rakyat.

Pengarah Bahagian Pengembangan Perikanan Razali Lajis berkata, bagi tujuan itu, pihaknya menerusi Pusat Pengembangan Perikanan (PPP) akan ke perkampungan nelayan di seluruh negara bagi menyebar penemuan baru teknologi peralatan menangkap ikan serta pemprosesan produk.

"Sejak dari dulu lagi, PPP diberi peranan sebagai pusat pemindahan teknologi dalam bidang peralatan penangkapan ikan serta pemprosesan produk perikanan," katanya dalam ucapan perasmian majlis penyerahan alat kemudi enjin bot di PPP Kampung Acheh, Sitiawan dekat Lumut.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Cawangan Teknologi Perikanan dan Komuniti Nelayan, Jabatan Perikanan Adnan Hussain.

Beliau berkata peranan PPP dapat dilihat menerusi empat pusat yang beroperasi di Semenanjung iaitu Kampung Acheh (Perak), Gelugor (Pulau Pinang), Tanjung Sedili (Johor) dan Seberang Takir (Terengganu).

Pada majlis itu, Pengurus Besar Technology Park Malaysia (TPM) Engineering Sdn Bhd Aggus Salim Halmee Haidar, yang mewakili Pengerusi TPM Datuk Nasarudin Hashim, menyerahkan enjin bot 'Red1' hasil inovasi bekas nelayan Redzuan Hashim kepada PPP Kampung Acheh.

'Red1' merupakan gabungan enjin komersial dengan kemudi inovatif di mana enjin itu juga boleh digunakan sebagai pam air, janakuasa elektrik, mesin tebu, mesin rumput dan alat pemajak sawah.

Sementara itu, Aggus Salim Halmee berkata TPM yang merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan mengagihkan 500 unit 'Red1' sehingga Jun depan kepada nelayan terpilih di seluruh negara menerusi Program Aplikasi Teknologi Bersama Komuniti atau TAPMOSTI@Community.

"Pihak TPM bersama Redzuan Hashim kini sedang giat menambah baik enjin sedia ada, dan bercadang untuk mengeluarkan model terbaru iaitu 'Red2' yang lebih ringan, kecil dan berprestasi berbanding enjin sedia ada," katanya.

Beliau berkata TPM telah mengeluarkan belanja kira-kira RM300,000 hingga RM400,000 bagi penyelidikan dan pembangunan enjin itu.

No comments:

Post a Comment