Batik dan songket Terengganu mempunyai potensi besar untuk menembusi pasaran antarabangsa apabila beberapa syarikat tekstil dari luar negara menunjukkan minat untuk memasarkan produk itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Haji Mohamed Awang Tera berkata, maklum balas ini diterima melalui program ‘Idaman Terengganu’ inisiatif kerajaan negeri yang mengadakan promosi dan rangkaian niaga di negara-negara Eropah tahun lepas.
“Melihatkan sambutan terhadap produk songket buatan negeri kita, saya yakin produk songket boleh diterima di negara barat dan sesuai dijadikan pakaian, perhiasan rumah dan cenderahati dengan citarasa dan corak fesyen di sana,” .
Mohamed berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Koperasi Penenun Songket Terengganu Berhad (Kopsongket), di Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (PKKM) Chendering, Kuala Terengganu kelmarin.
Hadir sama, Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SRM) Terengganu, Umar Sarim Saidin; Pengarah PKKM Cawangan Terengganu, Zahir Ahmad dan Pengerusi Kopsongket, Shamsul Bahrain Abd. Mutalib.
“Saya berharap pengusaha songket di negeri ini dapat meningkatkan kualiti dan mutu pengeluaran masing-masing supaya ia boleh diterima di peringkat global kelak,” katanya.
Katanya, dengan wujudnya Kopsongket ini semua pengusaha dapat bergabung tenaga dan berganding bahu dalam memajukan industri ini.
Selain itu katanya, melalui amalan berkoperasi, pengusaha songket dapat bersatu dan meningkatkan rangkaian niaga sesama mereka dan mampu memantapkan industri pembuatan songket serta pembangunan koperasi di negeri ini.
YB Dato’ Haji Mohamed kemudian menyarankan pengusaha memberi tumpuan utama kepada masalah bekalan bahan mentah dan monopoli daripada satu pihak pembekal sahaja agar pemasaran songket dapat dilakukan secara berkelompok serta tidak menganggu pasaran pembeli asal.
Sehubungan itu katanya, koperasi juga perlu lebih aktif dalam memberi kemudahan dan kebajikan kepada ahli-ahlinya serta dapat meluaskan jaringan perniagaan bagi pasaran tempatan dan seterusnya ke peringkat global.
Unit Komunikasi Negeri
No comments:
Post a Comment