Saturday, May 14, 2011

T’Craft Bakal Wujud Di Setiap Bandar Utama

Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) merancang untuk membuka T’Craft di setiap bandar utama di Semenanjung bagi memasarkan produk kraf tangan terutama dari negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Azmi Razik berkata, sasaran itu ditetapkan berdasarkan kepada sambutan di dua cawangan T’Craft di Lembah Bujang, Kedah dan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

Menurutnya, kewujudan kedai berkenaan bakal memberi laluan kepada ratusan usahawan kraf tangan di negeri ini untuk meningkatkan promosi dan memperluaskan pasaran mereka.

“YPU sebagai pemilik jenama rangkaian kedai berkenaan turut memberi peluang kepada pengusaha dari negeri lain memasarkan produk keluaran mereka di premis tersebut.

“Usahawan yang berpotensi dari negeri ini akan diberi peluang untuk mengendalikan kedai berkenaan sejajar dengan hasrat YPU untuk melahirkan ramai usahawan dalam pelbagai bidang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Taklimat Pengurusan Dana Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan Perniagaan Peruncitan di Dewan Konvensyen YPU di Kuala Terengganu, kelmarin.

Program sehari anjuran bersama YPU dan Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) yang dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Gabem, Datuk Ramlan Othman itu dihadiri 150 peserta.

Tambah Azmi, buat masa ini T’Craft hanya dirancang untuk dibuka di luar Terengganu selaras dengan tujuan penubuhannya untuk memperkenalkan produk kraf tempatan ke seluruh negara.

“Inisiatif ini diharap dapat kurangkan keluhan pengusaha kraf tradisional yang tidak mampu untuk pergi jauh bagi menjual produk mereka.

“Terengganu banyak produk kraf yang berdaya maju khususnya di kampung-kampung untuk diketengahkan sehingga keunikannya mampu menarik pelancong asing berkunjung ke halaman mereka,” katanya.

No comments:

Post a Comment