Ahmad Shabery Cheek (tengah) melihat mesin pemetik buah kelapa yang direka pelajar Institut Kemahiran Belia Negara Seri Iskandar Perak di Kemaman, Terengganu, Ahad lalu.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek Ahad melahirkan rasa kecewa dengan sikap negatif golongan belia yang enggan memanfaatkan banyak peluang pekerjaan yang disediakan oleh kerajaan.Sebaliknya kata beliau, golongan itu dengan mudah memberi pelbagai alasan menyebabkan peluang pekerjaan di negara ini kini dikuasai pekerja asing.
Jelasnya, kerajaan menerusi pelbagai agensi telah menyediakan pelbagai peluang dengan tujuan untuk memastikan setiap belia di negara ini mendapat pekerjaan.
Malangnya kata beliau, peluang itu sering dipandang sepi oleh golongan belia sehingga menyebabkan kesempatan tersebut diambil oleh pekerja asing.
"Pada masa ini terdapat 12.9 juta belia di negara kita, malangnya masih ada daripada mereka yang menganggur.
"Saya tak faham kenapa ini berlaku sedangkan Malaysia antara negara yang mempunyai pasaran pekerjaan terbesar selain menjadi tumpuan pekerja asing," katanya ketika berucap melancarkan Pro-gram Belia Mahir 1Malaysia di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Kemasik Ahad lalu.
Ahmad Shabery menolak dakwaan tidak berasas kononnya tiada peluang pekerjaan di negara ini sedangkan maklumat perangkaan menunjukkan hampir lima juta pekerja asing bekerja di negara ini.
Beliau turut tidak menafikan sikap serta mentaliti belia yang sentiasa memberi alasan tanpa ingin meningkatkan keupayaan diri adalah antara punca mereka gagal mendapat pekerjaan.
Program Belia Mahir 1Malaysia yang dilancarkan di IKBN Kemasik itu akan melibatkan penyertaan 10,000 belia dari seluruh negara dengan segala kos dan yuran pembelajaran ditanggung oleh kerajaan.
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment