Oleh: Shahrir Hamid
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata lebih baik membentuk sebuah pasukan bolasepak profesional yang mempunyai penyertaan pemain dari luar negara agar persaingan merebut tempat dalam skuad lebih sengit.
Perkara tersebut bersesuaian seperti yang diumumkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk membenarkan tiga pemain dari negara lain beraksi dalam liga di negara ini tidak lama lagi.
Beliau menyatakan perkara itu sebagai tanda kekecewaannya sambil member amaran amaran kepada pasukan T-Team supaya memberi persembahan terbaik dan pastikan beroleh kemenangan dalam setiap perlawanan sama ada ditempat sendiri mahu pun ditempat lawan.
Katanya, kerajaan negeri sudah banyak mengeluarkan wang bagi membayar gaji pemain tetapi mendukacitakan kerana mengalami kekalahan walaupun mempunyai pemain professional berpengalaman.
Selain itu beliau turut menyatakan Terengganu bakal mempunyai akademi badminton sendiri dalam usaha untuk mencungkil bakat pemain sukan itu berusia 12 hingga 18 tahun supaya menjadi pemain badminton hebat serta mampu mewakili negara pada suatu masa nanti.
Cadangan tersebut disuarakan sendiri oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Bin Said ketika Majlis Anugerah Sukan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, malam kelmarin.
Majlis tersebut bertujuan meraikan atlet-atlet sukan kelahiran Terengganu di samping memberi penghargaan kepada mereka yang banyak berjasa mengharumkan nama Terengganu dalam arena sukan dalam serta luar Negara.
Bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Mokhtar Nong mendahului senarai penerima anugerah bagi Anugerah Tokoh Sukan.
Beliau yang tidak dapat hadir diwakili anak perempuannya bagi menerima anugerah tersebut yang disampaikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah.
Sementara itu dua atlet basikal negara Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustafa dinobat sebagai olahragawan dan olahragawati negeri Terengganu pada majlis anugerah sukan negeri berkenaan.
Kedua-dua atlet itu masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 beserta piala pusingan, piala iringan, sijil kepujian dan wang tunai RM1,000 kepada persatuan yang diwakili mereka.
Mereka menerima hadiah daripada Menteri Besar.
Azizulhasni ketika ditemui pemberita berkata kemenangannya untuk kali kedua berturut-turut itu adalah khas buat jurulatih, isteri dan keluarganya.
"Saya hargai pengiktirafan yang diberikan ini, ia menunjukkan kegigihan saya dihargai menerusi anugerah ini," katanya.
Bagi Fatehah pula, kejayaan yang dilakar itu merupakan sejarah yang tersendiri buat dirinya apabila sekali lagi dipilih sebagai olahragawati negeri.
"Saya tidak percaya sekali lagi nama saya diumumkan untuk menyandang sebagai olahrawati ini kerana rekod dan keputusan yang saya peroleh tahun lepas kurang memberangsangkan," katanya.
Sementara itu, Muhammad Adiq Husainie Othman dari sukan berbasikal dan Siti Rajiah Ali dari sukan kanu diumum sebagai olaragawan dan olahragawati harapan, manakala persatuan kanu negeri dipilih sebagai pasukan terbaik lelaki dan wanita.
No comments:
Post a Comment